Warga pendidikan galas tugas penuh amanah
BUKIT KATIL 15 Julai- Kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan terhadap kemajuan sektor pendidikan di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia sejajar dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) dibawah ‘flagship’ ke-7 iaitu menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan yang terunggul di rantau ini.
Beliau berkata, pendidikan juga adalah pelaburan yang mesti dijana demi kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri dan negara pada masa hadapan.
“Oleh yang demikian, saya harapkan komitmen seluruh warga pendidikan di negeri ini agar melaksanakan tugas dan amanah yang besar ini dengan penuh integriti.
“Saya sangat yakin jika kita dapat menjadikan sekolah sebagai medan asuhan akhlak dan sahsiah yang sempurna, hasrat kita untuk melahirkan insan berilmu dan berkahlak mulia akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka 2022, hari ini.
Hadir sama Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Menurut Sulaiman, pihaknya menyeru supaya setiap rakyat di Melaka dapat meneladani iltizam dan dedikasi guru-guru dalam membina anak bangsa gemilang sekaligus menjadi pewaris kepimpinan negara.
“Tanpa kita sedari sifar jujur, amanah dan integriti adalah nilai intrinsik yang menjadi tunjang kepada kemajuan ekonomi.
“Selain itu, peranan ibu bapa di rumah pula memantapkan lagi nilai-nilai tersebut dengan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak,” katanya.
Terdahulu, seramai 536 guru dari JAIM diraikan dan pesara guru Zainal Samsuri dinobatkan sebagai Tokoh Guru JAIM 2022.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.