KM syukur pentadbiran negara masih dipimpini Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 23 Sept. – Jangan ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi di saat rakyat sedang bergelut menghadapi pandemik Covid-19.

Itu pandangan disuarakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali ketika mengulas mengenai cubaan segelintir pihak yang cuba mengambil alih kuasa pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan negeri menzahirkan rasa syukur dengan keprihatinan ditunjukkan Muhyiddin yang tidak terkesan dengan sebarang dakwaan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Jelasnya, sebaliknya pemimpin negara itu berusaha untuk memulihkan ekonomi negara serta meringankan beban rakyat ketika seluruh negara sedang berdepan dengan situasi getir akibat pandemik Covid-19.

“Saya bersyukur kerana kepimpinan di bawah Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu prihatin dengan kesan daripada kesengsaraan Covid-19 yang dihadapi oleh semua golongan masyarakat.

“Dengan pertambahan RM30 bilion menerusi pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas yang diumumkan beliau sebentar tadi, saya yakin ia dapat membantu keperluan serta kehendak terutama bagi golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40).

“Bagaimanapun, saya belum sempat meneliti secara terperinci mengenai pengumuman itu berikutan menghadiri mesyuarat sebelum bergegas ke program ini, namun apa yang terfikir dalam kepala saya tadi sama ada wujudnya kerajaan lagi, jadi nampaknya masih kekal lagi (kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Profesionalisme Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka bersama warga pendidik Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post Majlis menghadap tangguh, Agong nasihat utama kesejahteraan rakyat – Istana Negara
Next post Bandaraya Melaka Bersejarah ‘top 10’ Kempen We Love Cities
Ubah saiz-+=