Sorting by

×

RUU Anti Lompat Parti tumpuan Sidang Dewan Rakyat kali ini

Masa Membaca:2 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bakal menjadi tumpuan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 yang akan berlangsung selama tiga minggu bermula Isnin (18 Julai) ini.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti itu dijangka dibentang atau diletakkan di atas meja Ahli Dewan Rakyat pada Isnin untuk dijadikan rujukan mereka.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan Rabu lepas, rang undang-undang itu dicadang untuk dibahaskan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebelum itu, libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan akan diadakan pada 25 Julai dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 26 Julai.

Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong antara 11 dan 26 Ogos untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka dilaksanakan antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini.

Rang undang-undang itu merupakan antara perkara dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lepas bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan mendukung semangat Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, isu kos sara hidup dijangka menjadi topik perbincangan terutama menerusi soalan Ahli-Ahli Parlimen pada persidangan itu setelah terdapat cadangan daripada PAS supaya sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan perkara itu.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilapor berkata tiada keperluan untuk mengadakan sidang khas itu kerana Ahli Parlimen boleh mengemukakan usul mengenai isu berkenaan semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung sehingga 4 Ogos.

Selain itu, bacaan kali kedua dan ketiga bagi sembilan rang undang-undang dalam senarai Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat lepas yang ditangguhkan dijangka dibawa ke persidangan kali ini.

Rang undang-undang itu adalah Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021.

 

Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021; Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 yang ditangguhkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

Sementara itu, mesyuarat kali ini juga bakal menyaksikan sama ada pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dapat dilaksanakan atau ditangguh buat kali ketiga.

Usul berkenaan ditangguh ketika persidangan pada 25 Okt tahun lepas sebelum sekali lagi ditangguh pada mesyuarat 1 Mac lepas.

Azalina yang melepaskan jawatan itu pada 23 Ogos tahun lepas tetap menggalas tanggungjawab  sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara ketika persidangan Dewan Rakyat.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin mewakili kerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) setelah mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lepas.

Dua lagi Ahli Parlimen turut mewakili parti itu iaitu Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau).

Mesyuarat kali ini akan berlangsung dalam fasa peralihan ke endemik dengan Ahli Parlimen dan petugas perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka di dalam bangunan, namun tidak perlu lagi menjalani ujian pengesanan COVID-19 setiap dua kali seminggu seperti yang dilakukan pada mesyuarat lepas. 

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1336
Kongsi :
Previous post Infak 10 ekor lembu
Next post Lelaki ditemukan mati, dipercayai dipukul isteri di Taman Daya
Ubah saiz-+=