Masih setia jual teh tarik RM1

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

LENDU 13 Julai – Sepasang suami isteri yang mempraktikkan konsep berniaga sambil berinfak menawarkan semua jenis minuman panas pada harga hanya RM1.

Selain itu, Mohd Huzad Ali, 54, dan Zahrah Ahmad, 53, turut menawarkan roti canai juga pada harga yang sama manakala sepinggan nasi berserta ikan dan sayur tidak lebih RM6.

Mohd Huzad berkata, dia dan isteri memulakan perniagaan bermula di Jalan Bertam, Sungai Udang pada 2008 selepas menamatkan perkhidmatan selama 22 tahun dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD) Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Saya yakin rezeki kurniaan Allah tidak pernah salah alamat dan harga itu kami tawarkan sejak mula berniaga di lokasi berkenaan selama sembilan tahun sebelum berpindah ke Pasar Awam Masjid Tanah.

“Tidak sampai setahun kemudian, saya mengambil alih warung kecil di bawah pokok sena di Taman Nilam yang bersebelahan Kampung Bukit Beringin, di sini dan mengubah suainya menjadi lebih selesa untuk pelanggan,” katanya ketika ditemui di warung itu hari ini.

Dia berkata, asal sahaja minuman panas, sama ada yang ada susu atau sebaliknya, harga yang ditawarkan tetap RM1 manakala yang berais tanpa mengira jenama bahan minuman, harganya RM2.50.

Bagi memenuhi selera pelanggan, dia dan isteri menyediakan pelbagai jenis masakan seperti asam pedas, gulai masak lemak cili padi, kari dan seumpamanya.

“Walaupun harga gula dan susu serta beberapa jenis bahan minuman naik beberapa kali sejak kami mula berniaga hingga sekarang, alhamdulillah Allah tetap memberikan keuntungan kepada kami,” katanya.

ZAHRAH menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk di warungnya di bawah pokok sena di Taman Nilam berhampiran Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah.

Mohd Huzad yang berdarah Punjabi di sebelah datuknya berkata, dia amat bersyukur margin kecil yang diperoleh saban hari tidak menyebabkan perniagaannya tekandas di tengah jalan.

Sebaliknya, jumlah jualan yang tinggi bagi minuman dan makanan mampu menampung margin kecil yang disifatkan sesetengah pelanggan sebagai tidak menguntungkan, selain tidak masuk akal.

“Ada pelanggan minum dua gelas minuman bersusu terkejut apabila ingin membayar, harganya cuma RM2 dan keesokannya dia datang semula bersama-sama beberapa rakannya,” katanya.

Bapa kepada lima anak, termasuk lelaki bongsu berusia 21 tahun yang lumpuh selepas menjalani pembedahan tulang belakang lima tahun lalu itu berkata, dia dan isteri serta tiga pembantu memulakan perniagaan pada jam 6 pagi sehingga 6 petang dan operasi kedainya disambung dua anak perempuan, masing-masing berusia 24 dan 27 tahun pada sebelah malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2004
Kongsi :
Previous post Korban tiga lembu manfaat 300 asnaf, anak yatim
Next post Pengawal keselamatan maut bergesel Honda Civic
Ubah saiz-+=