Karnival Jom Beli Rumah tawar 10,000 unit rumah mampu milik
KEPALA BATAS, 11 Julai – Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 15 Julai ini akan menawarkan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata karnival itu dijangka memenuhi keperluan golongan muda terutama B40 dan M40 dengan menampilkan hartanah mampu milik kepada mereka.
“Karnival anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disertai lebih 40 pempamer, yang menggabungkan semua pihak daripada kerajaan termasuk pelbagai agensi dan pemaju swasta, berlangsung selama tiga hari bagi memberi peluang kepada orang ramai mencari hartanah.
“Kami turut menawarkan sebanyak 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh Malaysia dengan harga RM300,000 ke bawah bagi memberi peluang kepada golongan itu memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Program Korban Parlimen Kepala Batas di Surau Taman Penaga Permai di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata karnival tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Julai dan turut membawa bersama pembiaya bagi membantu urusan pembelian rumah terutama dalam kalangan anak muda yang berdepan beberapa kekangan.
Beliau berkata pihaknya juga membawa beberapa inisiatif kepada orang ramai terutama golongan muda dalam usaha membantu mereka membeli rumah pertama seperti mana misi dan aspirasi Perdana Menteri iaitu satu keluarga satu rumah.
“Kita hendak memberi galakan kepada orang muda membeli rumah sebab itu kami bawakan pembiaya untuk melihat inisiatif yang ditawarkan kepada mereka malah karnival ini juga lebih kepada golongan tersebut dengan pelbagai agenda dan jendela untuk mereka.
“Jom Beli Rumah kali ini cuba membantu golongan anak muda untuk beli rumah pertama kerana terdapat kekangan kepada mereka terutama berkaitan bayaran muka atau pendahuluan dan tiada slip gaji kerana ada dalam kalangan mereka bekerja dalam ekonomi gig,” katanya.
Reezal Merican berkata sasaran karnival itu bukan hanya golongan B40 sebaliknya M40 juga kerana unit kediaman bernilai RM300,000 hingga RM800,000 agak tinggi tidak terjual di seluruh negara, jadi inilah peluang untuk ia dijual kepada orang ramai.
Beliau berkata karnival itu juga akan dibawa ke seluruh negara untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat prospek hartanah terutama rumah seterusnya membeli kediaman pilihan mereka.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.