Ringankan beban asnaf sambut Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 9 Julai – Tiada yang lebih menggembirakan 20 asnaf selain menerima sumbangan wang dan bahan makanan, sekali gus meringankan beban membuat persiapan menyambut Aidiladha.

Asnaf di Kampung Paya Lebar dan Ramuan Cina Besar, di sini menerima sumbangan itu daripada JAPERUN Ayer Limau yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Seorang penerima yang juga asnaf, Juminah Baharin, 55, berkata sejak suaminya tidak mampu mencari rezeki sebagai pemandu teksi beberapa tahun lalu, mereka sekeluarga terpaksa berjimat-cermat.

“Suami saya sudah pakai lampin pakai buang dan tidak boleh bekerja lagi manakala anak sulung kami berusia 25 tahun sudah berkahwin dan mengikut suaminya.

“Anak bongsu kami lelaki berumur 23 tahun baharu sahaja dapat kerja sebagai polis bantuan di Kuala Lumpur, jadi terpaksalah kami hidup dengan menjimatkan perbelanjaan harian, tambahan pula harga barang semakin naik sekarang,” katanya selepas menerima sumbangan itu di Balai Raya Kampung Paya Lebar, hari ini.

Seorang lagi penerima, Shaari Haron, 70, berkata sejak terbabit kemalangan jalan raya empat tahun lalu, dia hilang daya ingatan dan tidak mampu mengingati bagaimana kemalangan itu berlaku, apatah lagi bekerja.

“Saya tinggal dengan anak perempuan bongsu perempuan dan dialah yang menjaga saya.

“Alhamdulillah, walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya ia membantu saya membeli ayam dan daging untuk menyambut Aidiladha,” katanya.

Sementara itu, Hameed berkata, selain meringankan beban asnaf membuat persiapan menyambut Aidiladha, sumbangan itu juga mampu mengeratkan silaturahim antara JAPERUN dengan anggota komuniti.

“Bukan wang yang menjadi tujuan sumbangan ini, sebaliknya nilai persaudaraan sesama Islam dan hubungan silaturahim sesama kita yang lebih bernilai,” katanya selepas majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Lebar, Ruzita Md Ali dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, Mohd Amri Ramli.

Beliau berkata, sambil menyampaikan sumbangan, beliau meminta Mohd Amri menerima aduan anggota komuniti yang ingin mendapatkan bantuan JKM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Elak peningkatan kes COVID-19 sewaktu Aidiladha – EXCO
Next post Lemang Aidiladha laris dijual menerusi platform ‘online’
Ubah saiz-+=