Martabatkan guru sekolah agama di Melaka

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Kerajaan negeri akan berusaha memartabatkan guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ke satu tahap yang tinggi di masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan profesion guru agama tidak diperkecilkan dan pada masa sama mengangkat profesion ini setaraf dengan guru sekolah aliran biasa di negeri ini.

Katanya, sehingga kini terdapat seramai 2,039 guru SRA JAIM di Melaka yang telah menabur bakti dalam menurunkan ilmu kepada anak murid.

“Kita ambil maklum segala permasalahan yang berlaku membabitkan guru-guru SRA JAIM sebab kita rasa adalah satu keperluan untuk memartabatkan profesion ini ke satu tahap lebih tinggi.

“Jika kira rasa guru sekolah kebangsaan itu penting, kita mahu guru sekolah agama ini juga dianggap sebegitu dalam meningkatkan pendidikan agama untuk anak-anak kita.

“Jadi dari semasa ke semasa, kerajaan negeri melalui JAIM akan sentiasa memperbaiki kebajikan dan juga senario sekolah-sekolah agama itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 140 guru SRA JAIM cemerlang di seluruh negeri Melaka sepanjang tahun 2019.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Melaka bakal wujudkan zon khas nelayan tangkap ikan
Next post Penternak ikan rugi ikan terlepas akibat banjir
Ubah saiz-+=