Mangsa banjir di Baling dinasihat tinggal di PPS, elak risiko berulang – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BALING, 8 Julai – Penduduk berhampiran Sungai Kupang di sini yang terjejas bencana banjir dan fenomena kepala air Isnin lepas dinasihatkan supaya tinggal di penempatan lain atau pusat pemindahan sementara (PPS) buat sementara waktu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu bagi mengelak sebarang risiko kejadian sama berulang susulan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan dan ribut petir di daerah ini dalam beberapa hari akan datang.

“Tadi masa kita buat perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Baling (Supt Shamsuddin Mamat), saya telah maklumkan kalau boleh semua orang kampung di kawasan berhampiran sungai itu harus kita bawa mereka keluar untuk mereka tinggal di kawasan penempatan lain.

“Kita tidak tahu bila air sungai datang mengejut terutamanya waktu kita sedang tidur. Sebab itu saya katakan waktu malam kita terpaksa ambil (pindahkan) mereka dan letak di suatu tempat yang lebih selamat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menziarahi mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dan meninjau kawasan banjir di Kampung Iboi di sini.

Hamzah berkata pada waktu siang, penduduk yang terlibat boleh dibenarkan kembali ke rumah masing-masing dengan bantuan anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan mereka.

Menurutnya lebih 700 anggota dan pegawai pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dikerahkan ke kawasan banjir di daerah ini bagi membantu penduduk terjejas.

Beliau berkata penduduk yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen pengenalan diri sama ada kad pengenalan, sijil kelahiran dan pasport akibat kejadian itu akan diberikan penggantian percuma oleh agensi berkaitan.

“Segala perbelanjaan untuk penggantian itu kita kecualikan. Ini kita lakukan setiap kali ada bencana memang saya umumkan bantuan seperti ini,” katanya.

Banjir dan fenomena kepala air pada petang Isnin lepas menjejaskan 805 rumah di 12 kampung dan turut mengorbankan nyawa tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

679
Kongsi :
Previous post RUU larangan merokok ke Jemaah Menteri minggu depan
Next post PM Ismail Sabri ucap takziah atas pemergian Shinzo Abe
Ubah saiz-+=