Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, S Subramaniam
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Subramaniam dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara dan juga menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada MIC dan negara,” demikian menurut catatan itu.
Subramaniam, 78, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara dan Segamat antara tahun 1974 hingga 2004, meninggal dunia malam semalam di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.
Mendiang juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.