Nelayan, wakil syarikat perkapalan berdamai
AYER KEROH 22 Sept. – Isu kontroversi membabitkan nelayan yang mengalami kerugian angkara kapal tunda seperti yang disiarkan Melaka Hari Ini, baru-baru ini akhirnya menemui jalan penyelesaian yang baik.
Ia selepas pertemuan diadakan di antara kedua-dua pihak melalui satu pertemuan yang diaturkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee di pejabatnya pagi tadi.
Dalam pertemuan itu, nelayan dari Pantai Kampung Hailam Mustapah Japar, 58 dan wakil syarikat perkapalan memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan dan berdamai.
Mustapah berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni dan wakil syarikat turut bersetuju membayar pampasan di atas kerosakan jaringnya dalam kejadian yang berlaku Ahad lalu.
“Kerugian saya seperti dalam laporan polis ialah sebanyak RM500, tetapi pihak syarikat telah memberi tambahan RM200 lagi disebabkan rasa prihatin terhadap nasib saya yang tidak dapat turun ke laut selepas kejadian itu.
“Apa pun, terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Norhizam kerana sentiasa prihatin dengan nasib nelayan dan membantu pertemuan pada hari ini. Bagi saya isu ini telah pun selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya.
Terdahulu, kes tersebut menjadi tular melalui satu video yang dimuat naik di laman Facebook menunjukkan nelayan berkenaan cuba bersemuka dengan pemilik kapal tunda di Perairan Lereh selepas jaring hanyutnya termasuk ke bawah perut kapal gara-gara angin kuat.
Namun pertemuan dengan kapten kapal tunda tersebut bukan sahaja tidak diendahkan, malah nelayan itu turut dicabar untuk membawakan isu itu ke pengetahuan pihak berkuasa, sebelum nelayan terbabit membuat satu laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling.
Sementara itu, Norhizam yang ditemui di pejabatnya menyifatkan isu berkenaan bukanlah satu isu besar sebaliknya ia lebih kepada salah faham hingga berlakunya pertengkaran.
“Disebabkan isu yang tular saya telah membawakan nelayan berkenaan bersama-sama wakil syarikat dan juga Pengarah Maritim Melaka serta Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka. Tujuan kita bukan untuk bergaduh, tetapi mencari jalan penyelesaian secara bersama.
“Bagi saya isu ini bukan salah nelayan, kapal itu juga tidak salah kerana ia berlabuh di tempat yang dibenarkan. Semuanya hanya salah faham hingga berlaku pertengkaran. Apa pun, saya gembira isu ini berjaya diselesaikan dengan baik dalam suasana harmoni,” katanya.