Melaka catat RM3 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan
BATU BERENDAM 22 Sept. – Kerajaan Negeri Melaka merekodkan sejumlah RM3 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan bermula Januari lalu hingga September ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, sasaran kerajaan negeri adalah sejumlah RM5 bilion bagi setiap tahun.
“Setakat hari ini keseluruhan nilai pelaburan yang masuk dalam tempoh tersebut hingga hari ini sudah RM3 bilion.
“Memang setiap tahun kita mensasarkan sektor pembuatan sebanyak RM5 bilion seperti yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kilang Texas Instrument, hari ini.
Jelasnya, nilai pelaburan itu tidak termasuk sektor-sektor hartanah, perhotelan, pelancongan dan sebagainya.
“Sektor pembuatan inilah yang akan memberi peluang pekerjaan kepada penyokong industri dalam sektor ini.
“Walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, kita perlu bersyukur dengan sasaran kita itu, sebab tiada orang yang berani ke negara kita pada masa ini,” katanya.
Sulaiman berharap pada tahun akan datang apabila selesai pandemik Covid-19, pelaburan dari negara luar akan masuk semula ke Melaka.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.