Sorting by

×

JC Azhar ingatkan semua pihak tidak buat kenyataan berhubung kes Syed Saddiq

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

Azhar membuat teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan polis dibuat terhadap peguam Lim Wei Jit selepas beliau mendedahkan pembelaan tertuduh (Syed Saddiq) ketika sidang media pada 21 Jun lepas.

“Saya rasa perkara seperti ini telah berlaku di mahkamah lain dan kali ini ia berlaku di mahkamah saya. Saya mengingatkan semua orang…biarkan bukti yang berbicara,” kata Azhar.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah memberi teguran agar perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

“Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan…tetapi mohon mahkamah memberikan teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memaklumkan perkara itu tidak akan berulang.

Laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Jun membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post AKCC cipta kemenangan di RPGC
Next post Penganggur didakwa bunuh teman wanita
Ubah saiz-+=