Sorting by

×

JDT gagal jinakkan Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) berjaya mengikat pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Lebih manis, skuad Hang Tuah bukan sahaja mencuri satu mata berharga, bahkan turut meleburkan rekod tanpa bolos skuad Harimau Selatan yang dipegang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Perlawanan yang dihadiri lebih 16,000 penyokong itu bermula rancak dengan kedua-dua pasukan membawa misi untuk mencari gol awal.

Gawang Melaka bagaimanapun nyaris dibolosi seawal minit ke-4 apabila sepakan percuma Leandro Velazquez melewati palang.

Tuan rumah yang tersentak kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya berjaya mengucar-kacirkan gawang JDT pada minit ke-10, namun peluang terhidang gagal disudahkan.

Selepas itu, pelawat kembali mendominasi permainan dan melakukan serangan bertali arus untuk memecah kebuntuan.

Hasilnya, skuad Harimau Selatan berjaya di depan pada minit ke-27 hasil jaringan Velazquez yang mudah menolak masuk bola ke penjuru kanan menewaskan Brian See.

Ketinggalan satu gol, Melaka kembali merencana sesuatu untuk mengubah kedudukan.

Justin Baas akhirnya menceriakan ribuan penyokong tuan rumah apabila berjaya merembat masuk bola hantaran Sony Norde pada minit ke-39.

MELAKA – 02 JULAI 2022, Pemain Melaka United FC meraikan jaringan gol pada minit ke-39 oleh Mikel Justin Cagurangan Baas dalam aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto : MR. AZLI

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, pasukan pelawat yang juga pendahulu liga ketika ini menggandakan asakan untuk kembali di depan.

Serangan demi serangan dilakukan ke kubu Melaka, namun masih gagal menembusi gawang.

Pelawat kemudiannya membawa masuk Safiq Rahim bagi menambah ketajaman di hadapan pintu gol.

Keterujaan JDT memburu gol nyaris dihukum dengan serangan balas Melaka apabila Sony Norde yang tidak dikawal berjaya melakukan rembatan cantik tepat ke arah gol.

Sayangnya, bola itu berjaya ditepis Farizal Marlias yang terpaksa melambungkan badannya.

Selepas itu, pelawat melakukan dua lagi pertukaran dengan memasukkan Muhammad Ramadhan dan Syafiq Ahmad tatkala masa tinggal kira-kira lima minit sahaja lagi.

Namun pertukaran itu tidak mengubah apa-apa apabila keputusan kekal 1-1 sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2394
Kongsi :
Previous post Pemilik kediaman boleh dikenakan tindakan jika penyewa lakukan jenayah
Next post Bukti Melaka United ‘boleh main bola’
Ubah saiz-+=