400 ibu bapa bantu perkukuh kewangan SMA (JAIM) Darul Falah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 26 Jun – Seramai 400 ibu bapa yang prihatin terhadap kemajuan akademik dan pembentukan sahsiah anak masing-masing, hadir memberikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Darul Falah, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Sambil menikmati sarapan pada program Sembang Pagi, mereka secara tidak langsung membantu memperkukuh kewangan sekolah bagi pelbagai objektif pembangunan.

Mereka bertukar-tukar pendapat dengan 38 guru dan enam
kakitangan sekolah berkenaan demi pencapaian cemerlang 295 pelajar dalam aspek akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Program berkenaan dirasmikan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang juga pensyarah di Universiti Melaka (UniMEL) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Dr Mohamad Nazli Umar.

Yang turut hadir, Pengetua, Abdul Hamid Ashari dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) yang juga penyelaras program berkenaan, Ya’kub Abdul Ghani.

Antara ibu bapa yang menghadiri program Sembang Pagi di SMA JAIM Darul Falah, Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi hari ini. Foto Din Ahmad

Abdul Hamid berkata, pihak pengurusan sekolah menyanjung tinggi keprihatinan ibu bapa memberikan sumbangan dengan menghadiri program itu.

“Dana itu akan digunakan untuk melengkapkan aspek pembangunan sekolah seperti menyediakan bilik komputer untuk pelajar dan ‘Smart TV’ dalam kelas.

“Selain itu, ia juga dimanfaatkan untuk melengkapkan ‘PA System’ dalam dewan peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Beliau berkata, program itu mempererat silaturahim guru dengan ibu bapa, sekali gus menyusun kerjasama erat bagi kemajuan pembelajaran pelajar.

Katanya, program itu juga menyediakan peluang untuk ibu bapa meninjau sendiri bilik asrama atau ‘dorm’ anak masing-masing.

Sekolah berkenaan mencatatkan keputusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dengan Gred Purata Sekolah 5.32.

Katanya, sumbangan ibu bapa diyakini membantu pencapaian akademik anak masing-masing, sekali gus untuk muncul antara sekolah agama terbaik di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1596
Kongsi :
Previous post Segan, tidak biasa antara punca ramai enggan jalani saringan kanser prostat, payudara
Next post Harga maksimum baharu ayam ambil kira kepentingan semua pihak – Rosol
Ubah saiz-+=