Sorting by

×

Jaring nelayan rosak angkara kapal tunda

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Sept. – Seorang nelayan mengalami kerugian dalam anggaran RM500 apabila jaring hanyut yang dilabuhkannya rosak angkara kapal tunda yang berlabuh tanpa kebenaran berhampiran pesisir Pantai Lereh, di sini, semalam.

Nelayan tersebut, Mustapah Japar, 58, mendakwa kapal tunda yang dipercayai dari Pelabuhan Klang itu sudah banyak kali berlabuh berhampiran pesisir pantai hingga menyukarkan nelayan mencari rezeki.

Jelasnya, kebiasaannya apabila jaring hanyut yang dilabuhkan termasuk ke bahagian bawah kapal, pemilik kapal akan segera mengalihkan kapal, namun dalam kejadian semalam pemilik kapal tunda bersikap angkuh dan enggan berganjak dari kawasan berkenaan.

Menurutnya lagi, dia telah cuba bersemuka dengan anak kapal berkenaan, namun aduannya bukan sahaja tidak dilayan, malah dia turut dicabar untuk membawakan isu berkenaan ke pengetahuan pihak berkuasa.

“Tempat sekangkang kera inilah tempat untuk kami mencari rezeki sekarang. Bukan hanya saya, tapi ada lebih 20 bot nelayan mencari rezeki di sini. Disebabkan kejadian ini, sebanyak lima keping jaring telah rosak dengan anggaran kerugian RM500.

“Saya cuba mendekati kapal berkenaan memberitahu jaring hanyut saya berada di bawah kapal itu, namun mereka enggan melayan dan menyuruh saya membawakan isu itu ke pengetahuan pihak berkuasa.

“Saya sangat kecewa dan berharap apa yang disuarakan ini dapat membantu nelayan kecil pesisir pantai untuk mencari rezeki seperti biasa,” katanya.

Oleh sebab itu, dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling dan akan turut membawakan isu berkenaan ke pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

Sementara itu, Nor Azman yang dihubungi Melaka Hari Ini memaklumkan pihaknya telah membawakan isu berkenaan ke pengetahuan pihak Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Saya difahamkan sejak akhir-akhir ini banyak kapal yang berlabuh sesuka hati hingga menyebabkan ruang buat nelayan pesisir pantai keluar menangkap ikan menjadi semakin kecil dan ada di antara mereka yang mengalami kerugian berikutan jaring tersangkut pada kapal-kapal yang berlabuh.

“Sebagai ADUN kawasan, saya sangat prihatin dengan masalah yang menimpa nelayan di kawasan ini. Justeru diharap pihak berwajib dapat memantau permasalahan ini bagi membolehkan nelayan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Views:

344
Kongsi :
Previous post Patriotisme ekonomi mampu rapatkan jurang sosio
Next post MBMB tak lepas tangan isu anjing liar di kawasan perumahan
Ubah saiz-+=