KM ajak pembangkang duduk sekali bincang masalah banjir
BACHANG 24 Jun – “Pihak pembangkang perlu duduk bersama kita (kerajaan negeri) untuk memberi cadangan serta berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri ini”.
Itu cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bagi memastikan segala permasalahan penduduk mengenai isu banjir dapat didengari oleh semua pihak.
“Semalam saya panggil Setiausaha Kerajaan Negeri dan mereka yang terlibat untuk berbincang wujudkan satu jawatankuasa khas menangani isu banjir di negeri ini.
“Pembangkang perlu duduk sama bagi memberikan cadangan selesaikan masalah ini khususnya di kawasan ‘hot spot’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar MBMB di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; EXCO Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata bagaimanapun setakat ini kerja-kerja penambahbaikan bagi mengatasi masalah banjir sedang dilaksanakan.
“Di kawasan kerap berlaku banjir, kerja awalan sedang dijalankan, mana-mana kawasan kerap berlaku banjir dan dilakukan penambahbaikan sekarang tidak berlaku banjir lagi.
“Insya-Allah kalau semua kerja penambahbaikan dilaksanakan kita dapat mengurangkan isu banjir ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.