Sorting by

×

Pendaratan penyu karah terganggu akibat hakisan pantai

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LINGGI 21 Sept. – Pendaratan penyu karah di pantai Perairan Melaka Selatan dan Melaka Barat dijangka terjejas akibat hakisan pantai yang semakin serius.

Penyu karah dikesan mula naik ke pantai untuk bertelur mulai Jun lalu dan dijadualkan mencapai kemuncak bulan ini dan bulan depan, tetapi terganggu akibat hakisan pantai.

Tebing pantai terlalu tinggi yang terbentuk akibat hakisan sejak hujung Jun lalu menyebabkan haiwan marin itu tidak mampu memanjatnya untuk mencari tempat bertelur berbanding pantai yang landai sebelum hakisan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Mohd Fauzi Solehan berkata, hakisan menyebabkan batu kecil yang tenggelam di pantai timbul dan menyukarkan penyu berjalan dari gigi pantai ke kawasan pantai yang lebih luas dan agak jauh dari gigi pantai.

“Hakisan adalah satu daripada faktor penyu tidak mendarat kerana kawasan yang sesuai untuk mendarat dan bertelur sudah terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin Mohd Fauzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ismail Othman serta Pengarah Kewangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ummi Khalthum Shuib melepaskan 478 anak penyu karah di pantai Tanjung Dahan, di sini.

Ia sempena program Pembersihan Dunia Peringkat negeri di pantai berkenaan yang menyaksikan 500 kilogram sampah-sarap berjaya dikutip oleh 300 sukarelawan.

Beliau berkata, selain hakisan, tembok penahan ombak yang dibina bagi mengatasi masalah hakisan pantai juga menyebabkan penyu tidak mampu naik ke darat untuk bertelur.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota masyarakat, terutama nelayan yang tinggal di pinggir pantai supaya membantu usaha jabatan itu mengekalkan pendaratan penyu karah dengan cara tidak mengambil telur penyu yang dijumpai di pantai.

Haiwan marin itu dikesan naik ke pantai sepanjang 20 kilometer (km) dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi untuk bertelur pada kemuncak musim pendaratan bulan ini sebelum dijangka menurun pada November depan.

Berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 182 pendaratan penyu dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Mei lalu, berbanding hanya 106 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menjadikannya menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 dan menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokas pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.

Hakisan pantai sejak hujung Jun lalu menjejaskan Pantai Puteri di Tanjung Kling, selain pantai Pengkalan Balak, Telok Gong dan Tanjung Dahan.

Views:

370
Kongsi :
Previous post Piala Tun Abdul Razak 2020: Skuad hoki wanita Pahang ‘benam’ Melaka
Next post Duta kecil semai semangat hayati Rukun Negara
Ubah saiz-+=