BKM: Isi rumah terima tambahan RM100 – PM Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 22 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bantuan tunai tambahan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.
Ismail Sabri berkata kerajaan mengambil keputusan manambah nilai BKM itu selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.
“Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan RM630 juta,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Pada BKM Fasa 1 sebelum ini, setiap isi rumah B40 yang layak, menerima bantuan tunai RM400 manakala individu bujang menerima RM200 tiap seorang.
Dengan penambahan ini, bagi BKM Fasa 2 setiap isi rumah akan menerima sehingga RM500 manakala bujang menerima tambahan RM50 setiap seorang.
Perdana Menteri berkata bayaran BKM itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” katanya.
Menurut Ismail Sabri pembayaran berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Beliau berkata semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata setakat ini 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan, dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 tahun ini.
Katanya jumlah bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.
-BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.