WTC 2022 UTeM julang Ikon Keusahawanan Teknikal Wanita
DURIAN TUNGGAL 22 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menobatkan Halimaton Saadiah Hakimi sebagai Ikon Keusahawanan Teknikal Wanita sempena Konvensyen Keusahawan Teknikal Wanita (WTC) 2022 .
Halimaton yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eureka Innovative Solution & Consultany adalah graduan UTeM dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan tahun 2017 dan berjaya membuktikan pencapaian cemerlangnya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan bidang teknikal.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada majlis Majlis Makan Malam WTC 2022.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Menurut Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudinm WTC 2022 berjaya menghimpunkan peserta konvensyen terdiri daripada pelajar-pelajar wanita dari UTeM, rangkaian universiti awam, Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Program ini turut disertai para usahawan wanita, ahli pertubuhan wanita, usahawan ibu tunggal, pegawai jabatan kerajaan, ahli akademik wanita, alumni wanita UTeM dan orang ramai.
“Terdapat juga aktiviti seperti Women DNA bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Women of Wisdom bersama i-LEAD Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan forum meja bulat yang mendorong peserta menjadi usahawan teknikal yang berjaya.
“WTC juga menjadi platform untuk mengumpul dana bagi tujuan kebajikan untuk bersama menyumbang dalam membantu pelajar-pelajar B40 di UTeM,” katanya.
Sementara itu, pengarah program yang juga Pengarah Pejabat Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC) UTeM, Datin Wira Nurazlina Md Sanusi berkata penganjuran majlis makan malam dan kutipan dana itu menjadi berjaya mengumpul dana untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Fokus kita untuk membantu golongan pelajar B40 di UTeM, kedua kita membuka ruang dan peluang kepada pihak korporat dan orang perseorangan dalam kalangan dermawan untuk memberikan sumbangan kepada yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.