Sorting by

×

Syukur motosikal RM1 bantu selesai banyak masalah

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

DUYONG 22 Jun – “Dulu, suami yang uruskan semua, hal sekolah anak-anak, saya tidak pernah ada kenderaan sendiri, bila suami sakit, saya buntu,” kata suri rumah, Norwahidah Maulad, 33 tahun.

Menurut ibu kepada empat anak itu, sejak suaminya, Mohd Amir Idris, 33, sakit kira-kira 10 tahun lalu, dia menggantikan tempat suami mengurus keluarga.

“Dulu ada kereta tetapi ada masalah dan terpaksa dijual kepada kedai besi buruk, selepas itu, baharu timbul pelbagai masalah sehingga terpaksa minta ihsan keluarga dan rakan untuk bergerak ke mana-mana.

“Malah, terpaksa menggunakan khidmat grab untuk menghantar suami mendapatkan rawatan dialisis setiap minggu.

“Jadi, bila ada pihak yang sudi jual motosikal Modenas Kriss dengan harga RM1, saya amat bersyukur kerana melaluinya, banyak urusan keluarga saya dapat diselesaikan,” katanya.

Norwahidah ditemui ketika penyerahan motosikal tersebut oleh pemilik Makdad Workshop, Shikh Muhammad Makhdad Haron atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah di DMDI Taman Seri Duyong 2 di sini.

Menurutnya, setiap bulan dia terpaksa berbelanja RM260 bagi bayaran sewa van sekolah anak-anak selain wang untuk khidmat grab.

Katanya, dalam tempoh itu mereka hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Pernah terfikir untuk bekerja namun saya buntu memikirkan keadaan suami ditambah pula seorang anak berusia tujuh tahun dikategorikan orang kurang upaya (OKU) selain seorang berusia empat tahun yang perlu dijaga.

Katanya, sebelum itu, mereka menyewa rumah yang dibiayai oleh pihak MAIM namun terpaksa berpindah ke rumah sekarang dengan sewa RM500 disebabkan pemilik rumah lama mahu menjual rumahnya.

“Sekarang,  kami terpaksa mencari wang untuk membayar rumah sewa dan MAIM akan membantu sekiranya kami berpindah ke rumah sewa yang lebih murah.

“Apa pun, saya bersyukur dapat motosikal RM1, bolehlah saya hantar dan ambil anak-anak dari sekolah,” katanya sambil memberitahu bayaran van sekolah anak turut tertunggak sebanyak RM250.

Sementara itu, menurut Pak Ngah, sumbangan motosikal tersebut adalah yang ketiga menerusi program infak yang dijayakan bersama rakan-rakannya.

“Kebetulan kawan memaklumkan motosikalnya tidak digunakan.

“Saya mengeluarkan belanja kira-kira RM1,000 bagi membaik pulih motosikal RM1 ini termasuk kos memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM),”  katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1649
Kongsi :
Previous post JKR tambah baik aspek keselamatan di dua selekoh maut
Next post Keadaan kanak-kanak terambil dadah semakin pulih
Ubah saiz-+=