Sorting by

×

Dodol kayu api bangkitkan aroma klasik

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TABOH NANING 21 Jun – Ramuan digunakan mungkin sama, namun cara seorang peniaga dodol menyediakan makanan tradisional itu menggunakan kayu api sebagai bahan bakar dianggap unik dan mengimbau kenangan silam.

Mohd Danish Haikal Osman, 17, berkata, dia mewarisi perniagaan itu daripada keluarganya dan memilih cara lama kerana mahu menjaga kualiti dan rasa dodol disediakan.

Dia mengusahakan gerai di Jalan Kampung Lanjut, berkata, perusahaan itu dimulakan ibu bapanya 20 tahun lalu dan mereka menggunakan kayu getah dan rambutan untuk memasak dodol.

Berkongsi cara penyediaan makanan itu Mohd Danish berkata, sepanjang empat jam proses memasak dia perlu peka dengan suhu api yang amat penting dalam menghasilkan dodol dengan rasa enak.

MOHD Danish perlu mengawal suhu api dan mengacau dodol bagi mengelakkan makanan tradisional itu daripada hangit

“Memasak menggunakan kaedah ini akan menghasilkan dodol lebih wangi. Memang berhampiran ada banyak gerai dodol lain, tapi ramai singgah di tempat saya kerana tertarik dengan keunikan cara makanan tradisi ini disediakan.

“Ramai yang sudah jadi pelanggan tetap dan mereka sanggup menunggu demi mendapatkan dodol panas baru dimasak daripada kawah. Seminggu saya memasak empat kawah dodol,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini bersemangat untuk menjadi penyambung perniagaan keluarganya dan pada masa yang sama menyimpan cita-cita untuk meluaskan lagi pasaran produk dihasilkan.

“Saya membesar di sini, setiap kali pulang dari sekolah saya akan ke warung untuk membantu ibu dan ayah malah pada hujung minggu akan menghabiskan masa berniaga bersama mereka,” katanya.

Selain menjalankan perniagaan dodol, gerai keluarganya turut menawarkan pelbagai makanan warisan lain seperti wajik pulut, wajik sirat dan pelbagai produk kraftangan daripada pengusaha sekitar Taboh Naning.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2978
Kongsi :
Previous post Alunan piring hitam beri kepuasan
Next post Keputusan kes bunuh CEO Cradle Fund pagi ini
Ubah saiz-+=