Sorting by

×

Alunan piring hitam beri kepuasan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

Oleh: Adam Daniel Roslan

MALIM JAYA 20 Jun – Dalam arus kemodenan masa kini, irama muzik boleh didengari dengan pelbagai cara, termasuk menggunakan aplikasi digital di hujung jari.

Namun begitu, ada segelintir orang lebih meminati cara tradisional untuk mendengar muzik, antaranya dengan format fizikal seperti piring hitam.

Bagi Muhammad Ezmir Zulkifli, 32 alunan muzik menerusi piring hitam mempunyai kepuasan tersendiri yang disifatkan ada nilai sentimentalnya.

Katanya, nilai itu semakin tinggi apabila muzik dari format piring hitam itu datangnya daripada penyanyi atau kumpulan yang sudah tiada lagi.

“Secara peribadi, piring hitam ini ada kepuasannya yang tersendiri bila kita pegang.

“Dari segi bunyi pula, saya suka sound (bunyi) yang berat atau yang sedikit ‘dark’ yang ada pada alunan piring hitam ini.

“Lagipun ia juga mempunyai nilai sentimental, contohnya koleksi peribadi yang menampilkan penyanyi atau band yang kita minat tapi sudah tiada lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, atas dasar minat itu, dia membuka Melaka Movement iaitu sebuah pusat sosial yang menawarkan tapak untuk persembahan gig dan penjualan muzik dalam format fizikal seperti piring hitam, cakera padat dan kaset.

Menurutnya, menerusi pusat tersebut dia mahu memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai muzik dari format fizikal khususnya piring hitam yang kini semakin dilupakan.

“Untuk bagi pendedahan kepada orang ramai berkenaan format fizikal lebih-lebih lagi piring hitam, tidaklah semudah format lain kerana kita sekarang sudah di zaman moden yang mana orang ramai lebih gemar menggunakan aplikasi di telefon pintar.

“Tapi saya rasa bertanggungjawab untuk mendidik orang ramai khususnya anak muda untuk mengenali format fizikal ini.

“Bawa mereka ke tempat ini (Melaka Movement) dan saya akan tunjukkan bahan yang boleh buat meraka tertarik,” katanya.

Muhammad Ezmir berkata, di pusat tersebut, dia turut menjual piring hitam kepada peminatnya dengan harga lingkungan RM40 hingga RM400.

Harga itu, katanya, bergantung kepada populariti kumpulan muzik (band) dan saiz piring hitam itu.

Selain itu, dia juga berhasrat mengumpulkan beberapa ‘band’ yang masih aktif di negeri ini untuk membuat satu kompilasi sebelum dimuat naik dalam format fizikal seperti cakera padat atau kaset.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1700
Kongsi :
Previous post Komuniti taman perlu bantu kawasan selamat didiami
Next post Dodol kayu api bangkitkan aroma klasik
Ubah saiz-+=