Sorting by

×

Melaka bakal memiliki insinerator terbesar

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Jun – Melaka bakal muncul negeri pertama memiliki Loji Rawatan Termal (insinerator) terbesar di negara ini apabila kemudahan itu dibina di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang tidak lama lagi.

Kemudahan itu mampu melupuskan 1,000 tan sisa pepejal sehari sebelum diproses menjadi tenaga untuk disalurkan kepada grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menjana tenaga elektrik.

Timbalan Ketua Pegawai EKsekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ir Zulkifli Tamby Chik berkata, sebut harga bagi pembinaannya sudah dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau berkata, loji berkenaan dibina melalui konsep inisiatif pembiayaan swasta (PFI) oleh syarikat kontraktor yang mampu menghasilkan tenaga dan bahan sampingan lain untuk kegunaan pelbagai industri.

“Setakat ini, sudah ada insinerator yang seumpama itu di Ladang Tanah Merah berhampiran Port Dickson, Negeri Sembilan tetapi ia hanya mampu melupuskan 800 tan sisa pepejal sehari.

“Ia sedang menjalani proses percubaan sekarang dan bakal beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi jika semua syarat operasi dipenuhi,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di sebuah resort di pantai peranginan Padang Kemunting, dekat sini hari ini.

Program itu dirasmikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir, EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Kempen itu bertujuan meningkatkan keprihatinan anggota komuniti, terutama pengujung pantai terhadap aspek pemeliharaan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal.

Zulkifli berkata, selain insinerator di Ladang Tanah Merah, lokasi lain loji berkenaan yang sudah beroperasi adalah di Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highland tetapi dengan kapasiti melupuskan sisa pepejal kurang 800 tan sehari.

“Purata seorang penduduk Malaysia menghasilkan 1.1 kilogram sisa pepejal sehari dan tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada akan penuh dalam tempoh lima tahun.

“Kita perlukan loji untuk membakarnya dengan abunya dilupuskan melalui kaedah yang sempurna dan ia amat penting dalam sistem pengurusan sisa pepejal dengan lebih baik bagi jangka panjang,” katanya.

Beliau juga berkata, SWCorp meletakkan sasaran kadar kitar semula negara mampu ditingkatkan kepada 40 peratus menjelang 2025 berbanding 32 peratus sedia ada.

Katanya, di Melaka sahaja sebanyak 1,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang tidak mampu menampung peningkatan sisa pepejal dari semasa ke semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post Ekspo pendidikan bantu anak Melaka kejar cita-cita – KM
Next post Melaka TV kini berwajah baharu
Ubah saiz-+=