Sorting by

×

Ekspo pendidikan jadi acara tahunan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Melaka Education Expo bakal dijadikan acara tahunan di negeri Melaka, dalam usaha menjadikan Melaka sebuah negeri hab pendidikan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ekspo seumpama itu penting dalam usaha menyediakan modal insan berkemahiran tinggi untuk menyokong keperluan industri susulan pelbagai projek dirancang kerajaan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Katanya antara pelaburan yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi pada masa akan datang adalah koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Sulaiman berkata, terdapat 46 institusi pengajian iaitu 21 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 25 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) beroperasi di negeri ini dan melahirkan puluhan ribu graduan setiap tahun.

Bagaimanapun, beliau menekankan Melaka tidak boleh sekadar menjadi negeri yang melahirkan tenaga mahir, tetapi kemahiran yang ada itu tidak dipraktikkan di negeri ini.

“Belajar di Melaka dapat pendidikan di Melaka. Sudahnya tidak ada di Melaka, graduan luar Melaka akan pulang ke negeri masing-masing. Tetapi anak watan Melaka terpaksa keluar untuk mendapatkan peluang pekerjaan di luar termasuk negara asing seperti Singapura.

“Kita ada Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang sudah melahirkan 10,000 jurutera kelas pertama tetapi mereka keluar membantu dan menyokong pelaburan di luar negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Melaka Education Expo 2022 di Hotal Ames, di sini yang berlangsung tiga hari bermula 17 hingga 19 Jun yang membabitkan lebih 30 pempamer.

Hadir sama EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Presiden Sheng Tai International Sdn Bhd Datuk Leong Sir Ley dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Dalam pada itu, Sulaiman meminta IPTA dan IPTS membantu kerajaan negeri dalam menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

“Sampai bila Melaka sekadar menjadi negeri pelancongan hujung minggu, hotel penuh setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad namun lengang pada hari biasa.

“Kita mahu jadikan Melaka sebagai pusat perdagangan, kita mahu jadikan Melaka ‘what is Singapore today’.

“Tidak ada beza kita dan Singapura sebab itu perlu modal insan untuk kita sediakan bakat bagi menyumbang kepada ekonomi Melaka pada masa depan,” katanya.

Pada majlis sama Sulaiman turut melancarkan logo baharu Melaka TV yang juga salah satu usaha penjemaan sesuai dengan perkembangan semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1195
Kongsi :
Previous post UiTM Jasin selesaikan misi ceriakan SK Ayer Limau
Next post Belgium setuju kerja 4 hari seminggu
Ubah saiz-+=