Sorting by

×

Bas rempuh lori treler, seorang penumpang wanita maut

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Seorang penumpang wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan lori treler di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan berhampiran Bukit Beruntung, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.32 pagi tadi, sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa tiba di lokasi pada 4.54 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, bas tersebut merempuh bahagian belakang lori treler 20 tan yang bergerak dari arah sama.

“Mangsa yang duduk di kerusi hadapan sekali tersepit di bahagian yang remuk. Mangsa berjaya dikeluarkan pada 5.13 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa Hamaizah Fadzilah, 54, berada dalam bas berkenaan bersama 39 penumpang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata kemalangan itu berlaku sewaktu bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke Kuala Lumpur.

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arsad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan diminta menyalurkannya kepada polis bagi siasatan di bawah kaedah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post Dua pelajar pondok yang hilang ketika mandi sungai ditemukan lemas
Next post Dari rumah sewa sempit, tujuh beranak dapat rumah baharu lebih selesa
Ubah saiz-+=