Labur RM4,000 pasang pagar elektrik
TANJUNG BIDARA 18 Sept. – Tanaman jagung yang dirosakkan babi hutan dan monyet menyebabkan dua rakan kongsi yang mengusahakan tanaman itu terpaksa menanggung kerugian tinggi.
Selepas menanggung kerugian demi kerugian akibat ladang jagung dirosakkan haiwan berkenaan, Norazwan Kamaruddin, 31 dan Mohd Saufee Kamarudin, 32, nekad melengkapkan ladang seluas dua hektar dengan pagar elektrik bagi mengelak serangan haiwan perosak itu.
Pagar yang menggunakan tenaga solar itu dipasang di kawasan sepanjang 500 meter di bahagian ladang yang bersempadan dengan hutan.
Berkat ilmu mengenai tenaga elektrik yang dimilikinya, bekas juruelektrik itu mengeluarkan kos RM4,000 bagi mendapatkan kepingan solar, bateri dan gelungan dawai sepanjang 500 meter untuk dipasang di ladangnya di Kampung Jeram, Masjid Tanah dekat sini.
“Kami tidak sanggup lagi menanggung kerugian akibat tindakan babi hutan dan monyet mencerobohi ladang untuk memakan jagung dan untuk mengatasinya, kami terpaksa mengeluarkan kos bagi mendapatkan pagar elektrik,” katanya ketika ditemui di kebun itu hari ini.
Bagi menjimatkan kos, beliau dan rakan kongsinya memasang sendiri pagar berkenaan berbanding mengupah kontraktor yang lazimnya mengenakan caj agak tinggi.
“Alhamdulillah, sejak memasang pagar elektrik pada Mei lalu, kebun kami tidak lagi dicerobohi babi hutan dan monyet berbanding keadaan sebelum itu yang menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.
Norazwan dan Mohd Saufee memulakan projek itu di kawasan seluas dua hektar selepas menimba ilmu hanya melalui seorang pemilik akaun Facebook yang mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 40 hektar di Rembau, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, mereka membuat pelaburan awal RM10,000 untuk membersihkan hutan, membajak tanah, menabur kapur dan menanam jagung hasil daripada bimbingan pemilik akaun terbabit pada Februari lalu.
“Pada mulanya kami menanam jagung mutiara di kawasan hanya seluas 0.4 hektar untuk membuat penilaian hasilnya dan selepas 65 hari kami sudah boleh menuai hasilnya.
“Tuaian pertama kami memperoleh 9,000 tongkol (biji) jagung mutiara yang amat digemari peniaga jagung rebus kerana ia lebih lembut berbanding jenis yang lain,”katanya.
Dengan memasarkan jagung mutiara pada harga enam tongkol RM10 kepada pelanggan atas talian dan setongkol RM1 kepada pemborong (belian antara 50 hingga 200 tongkol), mereka memperoleh pulangan antara RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap 0.4 hektar.
Selepas tujuh bulan mengusahakan tanaman berkenaan, mereka sudah mampu tersenyum menikmati hasil tuaian yang amat menggalakkan.