Malindo tolonglah serius – Muhammad Jailani
GEORGETOWN 14 Jun – Syarikat penerbangan Malindo Air diminta supaya lebih serius dalam usaha untuk merealisasikan penerbangan antara Melaka Pulau Pinang dan Pulau Pinang Melaka.
EXCO Pelancongan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis meluahkan rasa kurang senang dengan syarikat penerbangan terbabit yang kini dilihat tidak serius dalam melaksanakan komitmen mereka seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Muhammad Jailani memahami jika syarikat penerbangan itu berdepan kekangan untuk melaksanakan janji mereka dalam masa terdekat ini, namun mengingatkan agar penerbangan yang dirancang dapat disegerakan.
“Sekarang ini semua pihak dalam proses ‘recovery’ (pemulihan) termasuk kerajaan negeri Melaka dan Pulau Pinang, semua pihak terkesan akibat pandemik COVID-19 sekarang ini dalam fasa pemulihan.
“Apa yang saya minta Malindo laksanakan janji yang sudah mereka lafazkan, janganlah terlalu menekankan keuntungan komersial.
“Jika berjanji penerbangan tiga kali seminggu, laksanakan. sekarang ini biarlah susah sama susah, senang sama senang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam membantu pemulihan ekonomi negara pihak swasta diminta bersama-sama memainkan peranan dan berkorban.
“Jangan terlalu mementingkan syarikat tanpa Malindo, kita akan usahakan kaedah lain untuk bawa masuk pelancong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.