Produk Alor Gajah antara fokus utama tarik pelancong Pulau Pinang
GEORGETOWN 13 Jun – Memperkasa produk pelancongan Alor Gajah antara fokus utama dibincangkan dalam Seminar Semarak Pelancongan Sesi Padanan Niaga Revitalise dan Rejuvenate Melaka 2022 di Pulau Pinang, hari ini.
Pengarah Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr Nurul Adawaty Ismail berkata, dalam fokus itu pihaknya memfokuskan empat hala tuju dalam membangkitkan semula pelancongan Alor Gajah dalam negara berdepan fasa endemik.
Jelasnya, antara kesemua hala tuju berkenaan adalah eko-pelancongan, makanan, rekreasi pantai serta warisan dan sejarah menjadi pengangan MPAG bagi memperkasa sektor terbabit.
“Seperti eko-pelancongan, MPAG akan menumpukan kepada pembangunan produk eko pelancongan di Paya Lebar, Pusat Konservasi dan Pemeliharaan Penyu, Pengkalan Balak, Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Hutan Rekreasi Sungai Udang dan Kolam Air Panas Cherana Puteh.
“Dalam tarikan pemakanan, pelbagai produk mampu menarik pelancong ke daerah Alor Gajah, seperti kuih udang Alor Gajah, kuih bakar, roti canai dulang dan ayam percik Simpang Ampat.
“Pelbagai lokasi menarik seperti pantai Tanjung Bidara serta pelbagai lagi tarikan pelancongan turut difokuskan di bawah hala tuju rekreasi pantai.
“Bagi sudut warisan sejarah, Alor Gajah juga mempunyai tarikan seperti Makam Dol Said, Perigi Bangkung, Masjid Lama Machap serta pelbagai lagi,” katanya ketika berucap dalam seminar diadakan di Hotel Royal Chulan, Georgetown, di sini hari ini.
Terdahulu, seminar yang diadakan sejak jam 6 petang itu dihadiri lebih 50 pemain industri pelancongan membabitkan antara negeri Melaka dan Pulau Pinang
Program anjuran kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) selama dua hari di Pulau Mutiara itu akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang,Chow Kon Yeow dijadualkan kira-kira jam 8 malam ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.