Sorting by

×

CTRM Koop lancar laman sesawang ‘Melaka Coopnity’

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 13 Jun – Koperasi Pekerja-Pekerja CTRM Melaka Berhad (CTRM KOOP) menjalin kolaborasi bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mewujudkan Pusat Sehenti Koperasi secara maya dikenali sebagai ‘Melaka Coopnity’.

Biro Pembangunan Perniagaan CTRM Koop, Mohd Taufik Nordin berkata ‘Melaka Coopnity’ merupakan laman sesawang pertama bagi menyatukan koperasi-koperasi di Negeri Melaka yang bakal dilancarkan pada Ogos ini.

“Laman sesawang dan sistem ini sedang dibangunkan secara berfasa dan dijangkakan sempurna sepenuhnya menjelang Ogos ini. Dengan tagline ‘Peneraju Komuniti Koperasi Digital’ Melaka Coopnity boleh diakses melalui www.melakacoopnity.com.

“Ia bukan sahaja menyatukan rangkaian perniagaan koperasi, malah menjadi medium untuk hebahan, publisiti, promosi, informasi dan takwim aktiviti koperasi-koperasi di negeri ini.

“Idea ini dicetuskan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka, Firdaus Shaari yang mana ‘Melaka Coopnity’ merupakan laman sesawang pertama untuk menyatukan Koperasi-Koperasi di negeri Melaka,” katanya ketika ditemui MHI di sini, baru-baru ini.

Antara perkhidmatan ditawarkan seperti penganjuran mesyuarat atas talian, fizikal dan hibrid, penyediaan system mesyuarat untuk kehadiran dan undian, pengambaran video, penjenamaan semula produk dan syarikat, fotografi, penyediaan video promosi dan montaj.

Selain rakaman dan siaran langsung acara, penyediaan sistem audio dan visual, penyediaan slaid, brosur, hantaran media sosial dan penghasilan kad id digital untuk anggota, video 3D, pembikinan laman sesawang dan lain-lain,” katanya ketika ditemui MHI di sini, baru-baru ini.

Katanya, kesemua perkhidmatan itu ditawarkan untuk semua bukan sahaja kepada anggota Melaka Coopnity, malah semua koperasi di seluruh Malaysia, syarikat swasta dan badan-badan kerajaan.

“CTRM KOOP didaftarkan pada tahun 2016 di dalam syarikat CTRM Sdn Bhd yang berpusat di Batu Berendam yang mensasarkan keanggotaan dalam kalangan pekerja CTRM.

“Syarikat ini menumpukan aktiviti pembuatan panel kapal terbang untuk syarikat penerbangan antarabangsa seperti Airbus dan Boeing selain turut menyediakan perkhidmatan kalibrasi dan makmal ujian produk.

“CTRM Koop turut tersenarai dalam 20 koperasi terbaik Negeri Melaka di Hari Koperasi Negara peringkat negeri yang diadakan pada 10 hingga 12 Jun lalu di Pusat Beli-Belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall (DPMM), Banda Hilir,” katanya.

Sementara itu, Pegawai SKM Wilayah Melaka Tengah, Ikhwan Firdaus Roslan berkata pendedahan ke arah pendigitalan penting bagi memastikan koperasi tidak ketinggalan dalam menempatkan kedudukan selaras dengan pembangunan negara.

“Usia gerakan koperasi yang mencecah 100 tahun satu tempoh cukup matang untuk koperasi di negeri ini beralih ke tahap lebih moden dan maju untuk terus kekal relevan sekali gus menggalakkan penglibatan generasi baru,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2432
Kongsi :
Previous post Akademi al-Quran pertama di DUN Merlimau – Dr Muhamad Akmal
Next post JAPERUN pun jual tiket bola!
Ubah saiz-+=