Tiada istilah ‘orang Melaka cakap kasar’ – EXCO
BANDARAYA MELAKA 12 Jun – Orang Melaka (bercakap) kasar adalah mitos yang perlu dihentikan, kata EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Beliau berkata, alasan itu tidak pernah wujud sama sekali dan individu yang melakukan kesilapan perlu meminta maaf dan jangan menunding jari kepada orang lain.
Katanya, jangan jadikan cara orang Melaka yang disifatkan kasar sebagai alasan bagi menutup kesalahan masing-masing sebaliknya salahkan diri sendiri.
“Dari dulu lagi, saya sudah menasihati layanlah tetamu dengan senyuman, polisi ‘serve with a smile’ yang saya perkenalkan dari tahun 2018 tetap tidak berubah.
“Mafhum hadith nabi sahaja menyuruh kita menghormati dan sentiasa melayani tetamu dengan layanan terbaik walaupun tetamu yang diterima bukan tetamu yang kita suka.
“Kekasaran itu datang dari peribadi individu tertentu bukan suku atau rumpun bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan isu tular mengaitkan sebuah restoran di Banda Hilir yang didakwa mengeluarkan kata kesat dan memberikan layanan buruk kepada pelanggan.
Sebelum ini, isu tular membabitkan restoran berkenaan turut mendapat perhatian EXCO Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ngwe Hee Sem yang turun padang bertemu pengusaha terbabit.
Beliau menasihati pemilik restorang itu supaya lebih bersopan santun melayan pelanggan selain tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Malah, pemilik restoran berkenaan turut tampil memohon maaf kerana terlebih emosi dan menyifatkan tindakannya itu berlaku secara spontan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.