Sorting by

×

Majukan semula pantai Perigi Lawa di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jun – Penduduk tempatan di sini mencadangkan kerajaan negeri memajukan pantai Perigi Lawa, di sini sebagai antara destinasi pelancongan menarik.

Berbeza dengan pantai Pengkalan Balak yang dibanjiri pengunjung, pantai Perigi Lawa yang popular sekitar tahun 1990-an, kini kian sepi.

Tinjauan di kedua-dua pantai berkenaan hari ini mendapati pantai Perigi Lawa lengang manakala situasi di pantai Pengkalan Balak riuh rendah dengan suara ratusan pengunjung.

Anak jati Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Isa Zainal, 33, berkata suasana di pantai Perigi Lawa sekarang amat jauh berbeza berbanding keadaan sekitar 1990-an.

“Waktu saya kecil sekitar tahun 1990-an dahulu, pantai Perigi Lawa tidak putus dengan pengunjung sama ada dari Melaka atau luar Melaka kerana ketika itu pantai ini bukan setakat bersih dan indah, malah ada pusat peranginan tunggal.

“Bagaimanapun, sekitar tahun 2000 dan seterusnya, chalet dibina di pantai Pengkalan Balak seperti cendawan tumbuh selepas hujan, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung,” katanya ditemui berkelah bersama di Pantai Perigi Lawa.

Isa dan ahli keluarga mengunjungi pantai Perigi Lawa, Tanjung Bidara yang kian sepi daripada pengunjung. Foto Din Ahmad

Dia berkata, ketiadaan kawasan untuk pembinaan di pantai Perigi Lawa menyebabkan tiada chalet baru dibina berbanding tanah milik persendirian di pantai Pengkalan Balak yang lebih mudah dimajukan.

Katanya, pantai Perigi Lawa hanya dikunjungi orang ramai terutama dari negeri ini pada hujung minggu tetapi ia tidak seramai mereka yang berkelah di pantai Pengkalan Balak.

Sehubungan itu, Isa mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah bagi memajukan pantai Perigi Lawa sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Sementara itu, pengunjung pantai Pengkalan Balak, Samsuri Abdul Ghani, 46, berkata dia dan lima anggota keluarga datang dari Selayang, Selangor semata-mata untuk menginap di chalet dan berkelah.

“Saya sudah dua kali berkelah di pantai ini dan kami tertarik dengan keindahan pantai, laut yang bersih dan kadar penginapan chalet yang serendah RM100 semalam.

“Saya pernah berkelah di pantai Perigi Lawa kira-kira empat tahun lalu tetapi keadaannya tidak semeriah di Pengkalan Balak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2950
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak perempuan terkunci dalam kereta diselamatkan
Next post Polis siasat kejadian lelaki amuk di KM253 Lebuhraya Utara Selatan
Ubah saiz-+=