Kolej Komuniti Jasin berkongsi ilmu bersama wanita Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

Oleh Adam Daniel Roslan

MERLIMAU 9 Jun – Meskipun hanya berlangsung satu hari Program Women Empowerment 2022 memberikan manfaat besar kepada 150 kaum wanita yang diberi peluang untuk mengambil bahagian.

Menerusi program anjuran Kolej Komuniti Jasin itu wanita dalam kalangan kelompok B40, membabitkan ibu tunggal dan belia berusia 18 tahun ke atas berpeluang mempelajari teknik menyediakan makanan secara percuma.

Pengarah Kolej Komuniti Jasin Mohamad Nazri Ismail berkata, antara pengisian program termasuk penghasilan aneka roti, kek, donat, nasi beriani, nasi dagang dan aneka air.

“Semoga para peserta dapat mempelajari teknik penghasilan produk dengan sukatan dan kaedah penyediaan yang betul, membuat pengiraan kos bagi menetapkan harga jualan produk dan seterusnya melahirkan usahawan wanita yang akan menjadi pemangkin ekonomi negara.

“Kami mengambil inisiatif membudayakan dan memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui penawaran kursus-kursus kemahiran secara hujung minggu dan waktu kursus yang fleksibel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Women Empowerment 2022 di Kolej Komuniti Jasin, di sini, hari ini yang dirasmikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin.

Mohamad Nazri berkata, menjadi keperluan kepada negara merencana strategi pembudayaan PSH berkesan supaya akses kepada program dapat diperluaskan melalui pelbagai medium.

Menurutnya program PSH yang ditawarkan di Kolej Komuniti merupakan wadah terbaik bagi meningkatkan lagi potensi dalam kalangan komuniti tentang penyemaian budaya ilmu yang boleh diterokai tanpa batasan usia, masa mahupun tempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1628
Kongsi :
Previous post Kompleks Balai Istiadat bakal dibina sebelah Makam Tok Gubah
Next post Eksport produk pokok karas 2021 merosot
Ubah saiz-+=