MAHA 2022 secara hibrid pada Ogos

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERDANG, 9 Jun – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sektor agromakanan berdepan pelbagai risiko di peringkat domestik dan global termasuk cabaran produktiviti dan inovasi pertanian, kos input pertanian, perubahan iklim dan tahap adaptasi teknologi.

“Cabaran ini perlu ditangani bersama supaya sistem makanan negara bersiap sedia menangani krisis semasa atau yang mungkin berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran MAHA 2022 di sini hari ini.

Pameran dwitahunan itu kali terakhir diadakan pada 2018 sebelum tergendala akibat pandemik COVID-19 dalam negara.

Selari dengan hasrat kementerian untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, beliau berkata MAHA 2022 boleh menjadi platform untuk mencapainya melalui aktiviti pemadanan perniagaan, pameran teknologi dan inovasi terbaharu dan galakan kepada penglibatan generasi muda dalam bidang tani.

Ronald berkata MAHA 2022 dijangka menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan dengan 100,000 pengunjung sehari atau 1.1 juta pengunjung secara fizikal sepanjang 11 hari program diadakan.

MAHA 2022 antara lain menyasarkan penyertaan syarikat swasta, agensi kerajaan, institusi kewangan, usahawan tani dan golongan belia serta turut mengetengahkan pameran maya untuk sesi perbincangan, padanan perniagaan dan webinar secara langsung seolah-olah mengunjungi pameran secara fizikal.

Ia juga akan menggunakan pendekatan holistik dengan fokus kepada agroperdagangan, agrobelia, agroteknologi dan promosi hasil pertanian.

MAHA 2022 menyediakan 1,500 ruang pameran dan jualan antaranya jualan produk industri makanan dan asas tani seperti anak pokok, bunga, makanan laut dan sayuran segar.

Bagi maklumat lanjut berkenaan MAHA 2022, layari https://mahaexpo.my/.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1539
Kongsi :
Previous post Kes HFMD dijangka turun dua hingga tiga minggu lagi – Khairy
Next post Bayar cukai taksiran dapat Bezza PremiumX
Ubah saiz-+=