Bayar cukai taksiran dapat Bezza PremiumX
AYER KEROH 9 Jun – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Mungkin itu pepatah tepat bagi menggambarkan rezeki seorang pembayar cukai taksiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Siapa sangka dengan menunaikan tanggungjawabnya, Goh Wei Hao terpilih sebagai pemenang utama dalam Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBMB bagi tahun 2022.
Majlis cabutan itu telah disempurnakan Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu dalam satu majlis yang diadakan semalam.
Menurut Zainal, selain seramai 128 pemenang telah dipilih memenangi cabutan bertuah yang diadakan itu.
“Selain Perodua Bezza PremiumX bernilai RM44,000, pemenang-pemenang lain turut bakal menerima hadiah menarik seperti motosikal Yamaha Y15, Yamaha Avantis, Thermomix, komputer riba, televisyen, telefon pintar dan bermacam-macam lagi.
“Hadiah kepada pemenang yang bertuah akan disampaikan pada satu majlis tidak lama lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Selain cabutan cukai taksiran, dalam majlis sama turut diadakan penyampaian hadiah kepada pertandingan Pemenang Ceri Raya sempena ulang tahun ke-19 MBMB.
Kampung Ku Sayang, Bukit Baru dinobat sebagai johan kampung paling ceria dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Kampung Bukit Meta, Telok Mas dan Taman Asean 2, Malim yang membawa pulang hadiah RM3,000 dan RM2,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.