Bantuan RM150 juta untuk transformasi nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PUTRAJAYA, 8 Jun – Kerajaan telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM150 juta di bawah Dana Jaminan Makanan (DJM) dan pinjaman mudah bagi mentransformasikan nelayan melalui perolehan vesel moden berteknologi tinggi.

Jabatan Perikanan dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua kemudahan itu adalah untuk pembangunan industri perikanan pantai menerusi program pemodenan vesel, menggalakkan penggunaan peralatan mesra alam dan peningkatan mekanisasi peralatan tangkapan vesel di Zon A dan Zon B.

“Ia (bantuan) membuka peluang nelayan tradisi di Zon A dan Zon B menaik taraf dan memodenkan vesel, mekanisasi, peralatan tangkapan yang lebih efisien dan mesra sumber.

“Selain itu, ia meningkatkan aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan secara mampan selain secara langsung meningkatkan pendapatan nelayan A dan Zon B,” menurut jabatan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Laut Sedunia hari ini.

Menurut Jabatan Perikanan, kemudahan bantuan itu juga menggalakkan vesel beroperasi di zon yang lebih jauh, mengubah suai vesel dengan konsep ke arah pemodenan vesel, pembelian enjin baharu atau menambah baik peralatan menangkap ikan bagi berpindah ke Zon C.

“Ini seterusnya akan meningkatkan proses pemuliharaan semula jadi stok ikan dan kualiti ekosistem di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai dan mewujudkan kawasan menangkap ikan yang stabil serta penerokaan yang mapan.

“Ini sekali gus akan mengurangkan kebergantungan penggunaan kru bukan warganegara bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan dan menggalakkan penglibatan kru warganegara termasuk belia bekerja di atas vesel penangkapan ikan yang moden dan selesa,” menurut jabatan itu.

Jabatan Perikanan memaklumkan Malaysia sebagai satu daripada negara yang telah memeterai Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dituntut untuk memastikan sebanyak 10 peratus daripada keluasan perairan marin negara dijadikan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPAs) menjelang 2020.

Sehingga kini, jumlah keluasan perairan yang ditadbir urus oleh Jabatan Perikanan adalah 2,486.13 kilometer persegi (km2) manakala jumlah keseluruhan MPA untuk Malaysia adalah sebanyak 2,631.8093 km2.

Dengan adanya MPAs, Malaysia akan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ke-14 khususnya sasaran 14.1, 14.2 dan 14.5 iaitu Kehidupan Dalam Air di bawah SDG.

“Pencapaian SDG tersebut seterusnya akan menjamin kelestarian jaminan makanan dari sumber marin dengan lebih mampan di samping kehidupan marin yang lain seperti terumbu karang,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

886
Kongsi :
Previous post Kes daftar lewat kelahiran, Mykad hilang meningkat di Melaka
Next post ‘Jadikan Merlimau DUN beradat’ – Dr Muhamad Akmal
Ubah saiz-+=