Sorting by

×

Tindakan lebih tegas kepada pesalah cemari alam sekitar – PM

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pelanggaran kes alam sekitar ditangani menerusi undang-undang yang lebih tegas.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di sini hari ini, beliau yang mengambil contoh taman berkenaan berkata, sebelum ini kawasan hutan hujan itu dijaga dengan baik namun telah dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Untuk itu, undang-undang berkaitan alam sekitar perlu disegerakan, dalam usaha memastikan tiada pelanggaran kes yang boleh mendorong kepada kemusnahan alam sekitar.

“Kita dah lama bercakap soal undang-undang alam sekitar…bagaimanapun saya tak dapat maklumat yang menyeluruh. Insya-Allah hari Rabu (dalam mesyuarat) Kabinet nanti, saya akan tekankan bahawa undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan, sebab kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya berlaku,”  katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu, rakyat juga diseru untuk terus menjaga alam sekitar memandangkan dunia kini mengalami perubahan iklim dan kesannya telah pun dapat dirasai.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kejadian banjir besar yang berlaku sebelum ini juga boleh berlaku pada bila-bila masa, berikutan perubahan iklim yang dialami ketika ini.

“Seperti saya sebut banjir tahun lepas misalnya, banjir yang tidak dijangka malah beberapa kawasan pun berlaku banjir walaupun dulunya tidak berlaku. Dulu kita boleh jangka Monsun Timur Laut akan berlaku pada bulan November, Disember dan Januari, tetapi sekarang ini berlaku bila-bila masa.

“Di Kuala Lumpur, tiba-tiba berlaku banjir kilat. Ini menunjukkan perubahan iklim telah mula berlaku dan 10 tahun akan datang kita jangka lebih teruk lagi,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dengan tema ‘Hanya Satu Bumi’, turut sekali lagi menerangkan mengenai pelan tindakan dan mitigasi kerajaan untuk jangka masa pendek dan panjang, dalam menghadapi perubahan iklim dunia.

Beliau berkata antara sasaran kerajaan termasuk meletakkan sasaran kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus dan kadar kitaran semula kepada 40 peratus menjelang 2025, selain mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan negara.

Bagi merancakkan pembangunan hijau negara, Ismail Sabri berkata kerajaan turut meletakkan sasaran negara mencapai status ‘Negara Sifar Karbon’ menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sasaran Malaysia Lestari 2030 dan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik.

“Komitmen negara menerusi pelaburan (dalam) sifar atau rendah karbon dan teknologi hijau diharap dapat menarik pelabur-pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pelaburan hijau,” katanya.

Ismail Sabri turut menghargai usaha masyarakat setempat yang berusaha memajukan persekitaran mereka supaya menjadi lebih hijau, seperti mana dilakukan melalui Projek Komuniti Kebun-kebun Bangsar dan Kebun-kebun Kerinchi di ibu negara.

“Menariknya kebun sayur-sayuran ini diusaha menggunakan dana sendiri untuk mendidik dan menggalakkan penglibatan orang ramai, dengan hasil tanamannya turut dikongsi dengan golongan kurang berkemampuan.

“Konsep ‘empowering the community’ inilah yang ingin saya perluaskan bagi merealisasi agenda hijau negara. Justeru, saya mahu agensi kerajaan berkaitan turut membantu terutamanya memudahkan urusan serta memberi bantuan diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah memberikan mandat kepada Amanah Warisan Negara (AWAN), badan Pemegang Amanah Taman Tugu untuk memelihara, memulihara, mengurus dan mengoperasi Taman Tugu bagi pihak awam.

Katanya pelaksanaan projek Taman Tugu bertujuan untuk mewujudkan sebuah taman hutan hujan dalam bandar yang mampan, selain menjadi simbol komitmen semua pihak untuk menjaga dan melindungi khazanah warisan alam.

“Saya difahamkan tapak hutan sekunder Taman Tugu yang sebelum ini dijadikan tempat pembuangan sampah haram, telah dikunjungi lebih 500,000 pelawat setelah dilakukan proses pemuliharaan dan dibuka bagi kunjungan ramai pada 2018,” katanya.

Ismail Sabri juga percaya lebih ramai pengunjung akan melawat Taman Tugu untuk menikmati keindahan alam sekitarnya memandangkan negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

925
Kongsi :
Previous post 295 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah
Next post Melaka ‘juara’ pemberian vaksin – Khairy
Ubah saiz-+=