Bau busuk bongkar kes bunuh, kerat mayat ibu

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

IPOH, 5 Jun – Bau busuk membawa kepada penemuan 15 keratan bahagian badan seorang wanita warga emas dalam tangki kumbahan dipercayai dibunuh anak lelakinya, di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya bergegas ke rumah mangsa berusia 68 tahun itu untuk membuat pemeriksaan sebaik menerima aduan bau busuk luar biasa daripada jiran sekitar.

“Pemeriksaan di bahagian belakang rumah kemudian menemukan potongan mayat di dalam saluran najis yang ditutup menggunakan papan kayu,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di sini yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pihak polis sebelum ini menerima laporan anak perempuan mangsa mengenai kehilangan ibunya beberapa hari lepas.

“Kita yakin suspek mempunyai masalah mental dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam polis menahan suspek yang dipercayai membunuh dan memotong badan ibunya, susulan penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah itu kira-kira 3.30 petang.

Mangsa hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lalu selepas suami mangsa meninggal dunia dan mereka menjalankan urusan jual beli barangan terpakai.

Polis turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang dipercayai digunakan suspek bagi melakukan pembunuhan tersebut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Ganding bahu hapus sarang aedes
Next post Melaka sasar jadi negeri mesra sukan
Ubah saiz-+=