Syarikat jual telur gred palsu didenda RM15,000

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Sebuah syarikat ladang ternakan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah menjual gred telur palsu tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Ladang Ternakan Prudence Sdn Bhd diwakili pengarahnya.

Terdahulu pengarah syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati membekalkan 50 unit LTP Corn Egg Gred B 30’s yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu berkaitan saiz telur ayam gred B yang tidak mengikut Malaysian Standard MS680:2013.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Malim pada jam 10.48 pagi, 22 Oktober 2021.

Berikutan itu, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(A) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM250,000 dan tidak lebih RM500,0000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan itu dikesan selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka membuat serbuan di pasar raya terbabit dan mengesyaki telur ayam yang dilabelkan dengan gred B sebenarnya gred D.

Pemeriksaan uji timbang dilakukan dan bacaan timbangan telur tersebut adalah antara 0.60 sehingga 0.65 gram di mana berat tersebut tidak mencukupi untuk dilabelkan dengan gred B.

Siasatan lanjut mendapati, kesemua bekalan telur itu telah diperolehi daripada Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd.

Dalam prosiding itu, wakil syarikat terbabit membuat permohonan hukuman ringan dikenakan memandangkan perbuatan itu adalah kesalahan pertama dilakukan sepanjang 10 tahun menjalankan perniagaan selain berdepan kenaikan kos operasi akibat krisis ekonomi.

Pegawai Pendakwa KPDNHEP, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian memerintahkan syarikat terbabit membayar denda atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan bayaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Kerjasama erat M’sia – S’pura tangani COVID-19 jadikan ia satu kawasan epidemiologi – KJ
Next post Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan
Ubah saiz-+=