Sorting by

×

Ganjaran RM81,000 buat atlet Sukan SEA di Hanoi

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

SERI NEGERI 2 Jun – Melaka menghadiahkan insentif keseluruhannya berjumlah RM81,000 kepada lapan atlet negeri selepas meraih pingat pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Lapan atlet berkenaan adalah atlet sukan memanah, Juwaidi Mazuki yang berjaya menerima insentif keseluruhannya berjumlah RM23,000 selepas merangkul dua pingat emas individu lelaki dan berpasukan campuran serta pingat gangsa dalam berpasukan lelaki.

Turut menerima insentif, attlet sukan golf, Nateeshvar Anatha Ganesh; Johnathan Wong Guanjie (menembak) dan Tan Zhi Yan (wushu) masing-masing menerima RM10, 000 manakala gandingan beregu badminton, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun masing-masing menerima insentif sebanyak RM8,000.

Bagi pemenang pingat gangsa, Iman Aisyah Norazam (memanah) dan Sydney Chin Sy Xuan (wushu) membawa pulang RM6,000 selepas meraih pingat gangsa.

SULAIMAN (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM23,000 kepada Juwaidi (kiri) selepas meraih dua pingat emas dan satu perak dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata ganjaran imbuhan dalam bentuk wang tunai itu diberikan di bawah Skim Hadiah Insentif Kemenangan Sukan Negeri Melaka.

Katanya, ganjaran itu tidak termasuk imbuhan yang bakal dinikmati kesemua lapan atlet brrkenaan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

“Pada pencapaian kali ini, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM81,000 bagi tujuan pemberian insentif berkenaan.

“Dengan pemberian insentif ini, diharapkan dapat menaikkan lagi semangat semua atlet kelahiran Melaka agar terus berusaha untuk meningkatkan prestasi dan mencapai kecemerlangan di peringat antarabangsa seperti dicapai semua lapan atlet tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan replika cek kepada semua atlet berkenaan di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), V P Shanmugam dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata lapan atlet itu adalah daripada 21 atlet anak kelahiran Melaka yang berjaya membawa pulang pingat dalam kejohanan dwi tahunan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei lalu.

“Walaupun edisi ke-30 di Manila pada tahun 2019 menunjukkan pencapaian lebih baik iaitu seramai 13 atlet berjaya membawa pulang pingat, namun pemenang kali ini juga harus diberikan pujian memandangkan dunia menghadapi saat sukar selama dua tahun akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1263
Kongsi :
Previous post Polis P.Pinang tumpas kumpulan jenayah terancang, tahan 11 suspek
Next post Malaysia-Turki bincang inisiatif perkasa kawalan sempadan
Ubah saiz-+=