Sorting by

×

Sesi ‘townhall’ perlu dianjur di peringkat akar umbi

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 15 Sept – Sesi ‘townhall’ atau pendengaran awam dalam kalangan belia bersama pemimpin negeri perlu diteruskan dari masa ke semasa di peringkat akar umbi bagi memastikan kehendak dan keperluan jangka panjang golongan itu dapat direalisasikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata beliau yakin menerusi sesi luahan pendapat mahupun cadangan kepada peringkat kepimpinan tertinggi mampu mengukuhkan pembangunan negeri ke arah lebih baik.

Katanya, menerusi ‘townhall’ itu turut dapat memastikan kerajaan negeri mengambil maklum hala tuju pembangunan belia di negeri ini secara menyeluruh.

“Saya melihat ‘townhall’ ini perlu dibuat bukan sekali ini sahaja sebaliknya secara berterusan, waima di peringkat cawangan supaya kita boleh ‘pick up’ keperluan anak muda untuk mencorak pembangunan negeri pada masa akan datang.

“Pandangan yang terpilih mesti dibawa ke peringkat atasan, dari segi pekerjaan atau kesukanan mereka serta apa keperluan dikehendaki golongan belia sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada program Aspirasi Belia Melaka di kediaman rasminya di Seri Bendahara, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya sekiranya semua pandangan diambil kira, kerajaan negeri menerusi portfolio belia dan sukan berupaya mengambil langkah permulaan untuk melaksanakan transformasi terhadap pembangunan belia negeri Melaka.

“Jika kita dapat kumpul semua pandangan belia saya yakin kita boleh memulakan langkah awal bagaimana untuk merealisasikan seperti mana pandangan yang diberikan di peringkat bawahan.

“Saya yakin semua keperluan atau kehendak belia dapat kita laksanakan, sebab mereka ini yang akan kita serahkan tanggungjawab ke bahu mereka untuk menggantikan atau menggalas kepimpinan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menyampaikan peruntukan hampir RM18,000 kepada Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan 20 persatuan belia bagi mengaktifkan semula aktiviti golongan itu.

Pengerusi Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri Melaka, Asrul Khan Sher Jang Khan berkata, peruntukan yang diberikan itu membuktikan kerajaan negeri menerusi kemimpinan Sulaiman prihatin dengan permasalahan dihadapi golongan belia.

“Peruntukan yang diberikan itu mampu menggerakkan pelbagai program di peringkat negeri, daerah dan cawangan,” katanya

Views:

435
Kongsi :
Previous post Lima premis musnah terbakar di Bandar Jasin
Next post Musim ribut selatan bawa sampah ke pantai peranginan
Ubah saiz-+=