BN tiada ruang peluk tubuh, selesa atau bermimpi menang mudah PRU15 – Tok Mat
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Barisan Nasional (BN) tidak lagi ada ruang untuk berpeluk tubuh, berasa selesa apatah lagi ruang bermimpi untuk menang mudah dan pada PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata menang tipis atau sipi bukan pilihan sama sekali, dan BN tidak boleh dibuai nostalgia bahawa ia akan memerintah semula hanya kerana parti itu menjadi sebahagian dari kerajaan.
Menurutnya dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, Melaka dan Johor, ia bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang PRU, lantas menguasai kerajaan dengan mudah, dan jika ada yang beranggapan sedemikian, ia bukan sahaja salah, malah berbahaya dan berisiko kepada BN.
“Ada beberapa sebab kritikal mengapa kita mesti membuang anggapan sebegitu dengan segera,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen BN sempena ulang tahun BN ke-48 di sini hari ini.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata dua perkara utama perlu difokuskan seluruh anggota parti bagi mengecapi kemenangan, meliputi bagaimana anggota harus membaiki, mengukuh dan mencipta semula gelombang jenama BN, mengapa pentingnya untuk BN kembali memerintah dan bagaimana ia boleh dilakukan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut menggesa seluruh anggota parti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi, sebaliknya menggunakan kenyataan benar dan sahih.
Mohamad berkata PRU15 bakal menentukan masa depan BN dan untuk itu, parti harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran-tawaran serta penampilan baharu.
“Dahulu kita dalam BN berbelas-belas komponen. Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat. Semua meninggalkan kita, kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang,” katanya
“Yakinlah bahawa rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya lagi. Yang menjadi masalahnya sekarang adalah apabila kita membiarkan sahaja segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang sampai kepada masyarakat,” tambahnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.