Agong titah pembangunan, transformasi TUDM perlu seiring bentuk angkatan udara berwibawa
PETALING JAYA, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pembangunan kapasiti warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan transformasi keupayaan perlu bergerak seiringan dalam membentuk sebuah angkatan udara masa hadapan berwibawa.
Seri Paduka bertitah peranan TUDM sebagai tonggak utama dalam mempertahankan ruang angkasa negara diibaratkan sebagai sebuah perisai yang melindungi rakyat dan segenap kemakmuran negara.
Titah Al-Sultan Abdullah, bagi membangunkan keupayaan kuasa udara sebagai sebuah perisai yang terus gagah di angkasa raya menangkis dan melindungi tanah air pada sebilang masa, ia memerlukan pembentukan warga udara berkapasiti tinggi.
“Ia turut menuntut pembangunan keupayaan peralatan seiring dengan arus kemodenan teknologi semasa. Warga TUDM hendaklah diterap dengan kemahiran yang mampan sejajar dengan evolusi pembangunan kapasiti.
“Pada hemat beta, peningkatan keupayaan warga udara berasaskan teknologi akan dapat memacu ke arah pembentukan modal insan berimpak tinggi dan pada masa sama, pemantapan jasmani dan rohani.
“…disamping itu, memperkasa jati diri setiap warga udara sewajarnya terus diberikan tumpuan,” titah Seri Paduka setelah mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulangtahun TUDM Ke-64 di Pangkalan Udara Subang, dekat sini hari ini.
Titah Seri Paduka perkara ini adalah penting agar warga udara sentiasa berpegang teguh kepada disiplin dan etika ketenteraan serta memiliki sifat terpuji yang unggul.
Al-Sultan Abdullah bertitah bagi memastikan TUDM sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, keupayaan pertahanan udara perlu juga melalui transformasi secara menyeluruh dan holistik selari dengan perkembangan teknologi ketenteraan semasa.
“Aplikasi teknologi terkini bukan sahaja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang malahan ia juga perlu meliputi peningkatan keupayaan kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara.
“Semua ini adalah demi mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa,” titah Baginda.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan keyakinan menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar dengan teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian daripada elemen pertahanan negara akan dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan dan kelangsungan ekonomi negara tercinta.
“TUDM kini semakin megah berperanan sebagai sebuah perisai kedaulatan negara serta turut cemerlang dalam pelbagai inisiatif kerjasama serantau dan antarabangsa terutamanya dalam mendepani krisis kemanusiaan,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah Al-Sultan Abdullah, TUDM kini berada di atas landasan tepat menuju ke arah pembentukan sebuah angkatan udara masa hadapan yang berspektrum penuh.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa pelbagai usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para panglima, barisan kepimpinan, perwira dan perajurit TUDM sepanjang 64 tahun lepas.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas barisan kepimpinan dan veteran TUDM yang telah berkorban jiwa dan raga demi negara tercinta.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.