Profesion wartawan perlu dimartabat sebagai kerjaya profesional

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 29 Mei – Kerjaya wartawan perlu dipandang serius dan dimartabatkan sebagai antara satu kerjaya profesional dalam negara ini.

Pengkaji Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, perubahan teknologi telah memperkasa peranan media baharu merupakan antara cabaran dihadapi dalam profesion yang hampir 200 tahun menjadi cerminan masyarakat dalam negara ini.

Beliau berkata, kini tibalah masanya kerjaya wartawan dimartabatkan sebagai sebuah kerjaya profesional dan perlu mempunyai akreditasi dan kelayakan sebagai wartawan profesional.

Malah ujarnya, sebuah persatuan wartawan Malaysia sepatutnya ditubuhkan bagi membincangkan garis panduan dan kod etika kewartawawanan agar dipersetujui dan menjadi pegangan seluruh wartwan dalam negara.

“Sampai masanya wartawan perlu bincang status profisionalisme, pentauliahan, akreditasi, kelayakan walau pun semua orang boleh jadi wartawan tetapi tak semua mampu jadi wartawan profesional.

“Dalam teknologi yang optimum, golongan ‘influencer’ (pempengaruh) itu bukan wartawan, tak sama, tetapi mereka medium membantu wartawan mendapatkan maklumat yang tepat.

“Dalam kontek influencer ini kita juga lihat ia merupakan satu cabaran, wartawan perlu lihat dan perbaiki situasi ini, inilah masa golongan wartawan ditauliahkan kerana mereka sajalah yang tahu apa itu etika dalam kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Makan Malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 diadakan di Dewan Istana, A’Famosa Resort, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berharap perlu ada pihak yang mengangkat profesion berkenaan mengikut kriteria tertentu agar integriti kewartawanan negara mampu dipertingkat sekali gus memperbaiki kualiti kewartawanan.

“Kita harap perlu ada satu gesaan dalam perkara ini untuk memastikan nilai kewartawanan negara mampu maju kehadapan.

“Ia terutama dalam masa depan kewartawanan Bahasa Melayu kerana ia merupakan tonggak dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1489
Kongsi :
Previous post Agong zahir ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada pengamal media
Next post PM ucap Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua yang wartawan, pengamal media
Ubah saiz-+=