Cacar Monyet: Melaka cadang KKM laksana saringan di semua pintu masuk negara

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 26 Mei – Bagi mencegah penularan virus cacar monyet (monkeypox) memasuki negara, kerajaan negeri mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan saringan kesihatan di semua pintu masuk negara.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata langkah itu perlu dijalankan kepada pengunjung luar khususnya mereka yang datang dari negara terkesan wabak berkenaan.

Katanya, usaha itu bagi membendung virus itu tersebar dalam negara dan saringan yang perlu dilakukan seperti pengesanan suhu badan sama ada demam, pemeriksaan fizikal pada kulit dan sebagainya.

“Kita tidak menghalang pengembara dari luar masuk ke negara cuma kita mahu menghalang virus cacar monyet itu masuk ke negara ini menerusi pengembara yang datang dari negara yang terjebak cacar monyet.

“Kita boleh melihat simptom kepada mereka yang membawa penyakit ini dengan mata kasar, dan menerusi saringan jika pengembara terbabit dipercayai dijangkiti penyakit tersebut perlu diasingkan serta diperiksa oleh doktor di klinik di pintu masuk tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kejohanan Muay Thai Terbuka Merlimau di Bilik Mesyuarat, Kompleks JAPERUN DUN Merlimau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata beliau turut menasihati masyarakat untuk berhenti menyebarkan berita tidak sahih mengenai penyakit berjangkit tersebut.

Katanya, hal itu bagi mengelakkan tercetus rasa panik dalam kalangan masyarakat di negara ini mengenai berita tidak sahih tentang penyakit itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

789
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka MHI meriah!
Next post Badaruddin dilantik Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Melaka
Ubah saiz-+=