Sorting by

×

Usahawan India Melaka tidak terpinggir

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDA HILIR 14 Sept. – Kerajaan negeri sedia menghulur bantuan kepada usahawan india di negeri ini yang terjejas dengan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya tidak pernah meminggir golongan berkenaan dan sedia membuka pintu kepada mana-mana usahawan yang memerlukan bantuan tidak kiralah daripada kaum, bangsa dan agama mana sekali pun.

“Kita tahu ramai usahawan yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh Covid-19 ini. Sebab itulah saya katakan bahawa saya sedia membuka pintu di pejabat saya untuk membantu golongan ini yang terjejas.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan usahawan india. Kita akan membantu dari mana-mana sudut yang boleh asalkan mereka ini tampil ke depan dan memberitahu permasalahan mereka untuk kita bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui usai merasmikan program Rakan Mikro yang dianjurkan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dengan kerjasama Persatuan Usahawan India Melaka (MiEA), semalam.

Mengulas lanjut, katanya sehingga kini terdapat kira-kira 2,000 usahawan india yang berdaftar di Melaka.

Namun, beliau difahamkan masih terdapat ramai lagi usahawan dari kaum ini yang masih belum berdaftar dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah terutama membabitkan mereka yang berniaga kecil-kecilan di rumah.

Justeru, pihaknya akan cuba membantu dengan mengadakan bengkel keusahawanan di Japerun Pengkalan Batu pada 24 September depan yang bukan sahaja memberikan bimbingan dan latihan keusahawanan tetapi juga dapat menjadi pemudah cara untuk golongan ini mendapatkan lesen perniagaan sementara.

“Kita menjemput semua usahawan tidak kiralah daripada kaum dan bangsa sekali pun untuk hadir ke bengkel yang diadakan ini. Tujuan kita adalah untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan bagi memulihkan kembali ekonomi rakyat dan negara pasca Covid-19 ini,” katanya lagi.

Views:

600
Kongsi :
Previous post Seragam peraturan platform Airbnb
Next post Maut terjatuh ke dalam kolam kumbahan
Ubah saiz-+=