Sorting by

×

Pemasuhan AP dapat hapus aktiviti kartel – Pakar ekonomi

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Pemansuhan permit import (AP) bagi bahan makanan secara tidak langsung akan dapat menghapuskan aktiviti kartel di Malaysia, kata pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku seolah-olah lambakan penawaran di pasaran, namun itu bukan sesuatu yang negatif memandangkan ia sememangnya apa yang diperlukan bagi menampung permintaan daripada pengguna.

“Inilah yang diperlukan di pasaran hari ini bagi mengelakkan peniaga-peniaga yang menggunakan pasar borong ataupun rantaian pembekal memanipulasikan harga kerana mereka mempunyai kuasa monopoli kerana mereka beroperasi dalam kartel. Jadi ini sebenarnya satu cara untuk menghapuskan aktiviti kartel di Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Barjoyai berkata keputusan kerajaan untuk memansuhkan AP bahan makanan merupakan satu langkah yang strategik dalam jangka pendek, namun ia perlu disusuli dengan langkah yang lebih konkrit dalam jangka panjang dan sederhana.

Ini kerana katanya, kesan daripada aktiviti pengimportan akan menyebabkan penyusutan kepada nilai ringgit yang pada akhirnya akan mengakibatkan peningkatan semula pada harga barang.

Bagi mengatasi masalah itu, Barjoyai berkata antara inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan melakukan program penggantian import.

“Kita perlu segera memulakan projek perintis misalnya menanam sayur, kita boleh menggalakkan penggunaan ayam kampung kerana ia juga tidak memerlukan pengimportan barang makanan misalnya.

Untuk jangka masa panjang kita perlu menekankan kepada konsep keselamatan makanan di mana kita perlu mempunyai matlamat untuk mempunyai industri pertanian yang membekalkan barangan makanan yang cukup untuk keperluan asas seperti beras, minyak masak, sayuran, buah-buahan dan protein.

Kalau ini dapat dilakukan, dalam jangka panjang kita akan dapat menyelesaikan masalah ini kerana hari ini tekanan harga kebanyakannya adalah terhadap barang makanan asas,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan kerajaan memansuhkan keperluan AP bagi bahan makanan secara serta merta bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata langkah kerajaan menghapuskan AP ini adalah bertepatan dengan situasi semasa.

Selain dapat membantu untuk mempermudahkan pengimportan barang ke dalam negara dan mengurangkan monopoli, beliau berkata ia juga mempertingkatkan peluang untuk rakyat Malaysia memulakan perniagaan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan juga perlu melaksanakan dasar yang drastik untuk mengurangkan dengan signifikan pengimportan barangan dari luar negara.

“Selagi kita masih bergantung kepada barangan import, selagi itu masalah tak selesai sekiranya krisis makanan di peringkat global berlaku. Saya bagi contoh gandum, ada negara yang meningkat lebih 40 peratus pengimportan gandum. Sebab India telah menghentikan pengeksportan gandum, banyak negara yang bergantung kepada India telah pergi ke negara lain macam Australia yang Malaysia dapatkan bekalan.

Yang kedua nilai mata wang negara ketika ini berada dalam keadaan lemah. Jadi kecenderungan untuk harga gandum ini naik dengan signifikan amat berpotensi. Sebab kita import dari luar negara, sebab itulah situasi ini berlaku. Jadi semua barang yang melibatkan tepung gandum akan naik harga sebab harga gandum naik,” katanya.

Justeru katanya, antara inisiatif segera yang boleh dilakukan kerajaan adalah dengan menggalakkan rakyat untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran secara besar-besaran yang boleh mendatangkan hasil dalam masa yang singkat.

“Bila berlaku krisis makanan yang meruncing, maka stok barangan makanan di Malaysia sekurang-kurangnya kita ada sayur itu,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

794
Kongsi :
Previous post India minat jadikan Malaysia destinasi majlis perkahwinan
Next post Tiada masalah berlaku di Melaka – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=