Sorting by

×

Program kepimpinan dan wanita beri pendedahan baru mahasiswa UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan untuk mencorak kumpulan kepimpinan siswa siswi yang berkarisma tinggi bercirikan Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik (TUAH).

Bagi menjayakan agenda ini, Program Kepimpinan Altruistik dan Program Women of Wisdom dilancarkan melibatkan keseluruhannya 7,500 mahasiswa dan mahasiswi UTeM.

Kedua-dua program berkenaan disempurnakan oleh EXCO, Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin di Auditorium Canselori Kampus Induk UTeM.

Selaras dengan tagline ‘Sentiasa Merintis, Sentiasa Menerajui’, UTeM dipilih oleh pihak i-LEAD sebagai universiti awam perintis bagi menganjurkan program berimpak ini.

Menurut Kalsom dalam ucapannya, kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan wanita, keluarga, kebajikan di samping pendidikan, sebagai agenda utama dalam proses pembangunan dan transformasi negeri bertuah ini.

“Menerusi program ini, diharapkan siswa siswi dan para peserta mendapat ilmu dan pendedahan baru untuk diaplikasikan bagi menambah baik kualiti kehidupan masing-masing.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Professor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pelaksanaan program seumpama akan diperbanyakkan lagi pada masa hadapan.

“Hasrat UTeM adalah untuk melahirkan modal insan cemerlang yang syumul, memiliki lapan dimensi TUAH UTeM, antaranya dalam aspek pengurusan dan kepimpinan.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, UTeM amat mengalu-alukan kolaborasi strategik bersama agensi lain bagi penganjuran pelbagai program di masa akan datang dengan melibatkan siswa siswi UTeM agar matlamat utama HEP menerusi agenda Graduate of Choice dapat direalisasikan.

Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad pula berkata, pihaknya sentiasa komited untuk berkolaborasi bersama lebih banyak Universiti Awam yang lain di masa hadapan, dalam penganjuran program kepimpinan ini.

“Program ini secara langsung merealisasikan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan kumpulan pemimpin masa depan yang berkaliber.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1395
Kongsi :
Previous post MPN sokong tindakan mansuh AP – Muhyiddin
Next post Lindungi aktiviti pemalsuan cukai jualan minyak sawit: Individu bergelar ‘Datuk’ ditahan SPRM
Ubah saiz-+=