PM Ismail Sabri ajak Keluarga Malaysia kecam kekejaman Zionis terhadap Palestin
SEPANG, 20 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak Keluarga Malaysia untuk bangkit mengecam kekejaman Zionis terhadap Palestin bagi mengembalikan hak dan maruah rakyatnya.
Beliau berkata perkara itu menjadi tanggungjawab sesama manusia untuk bertindak atas dasar kemanusiaan apabila suatu kaum atau bangsa di sesebuah negara ditindas.
“Malaysia satu-satunya negara yang membangkitkan isu ini secara jelas. Kekejaman terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan.
“Malah Malaysia sangat memandang serius tentang pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Ulama 2022 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu menghimpunkan 150 ulama dan cendekiawan dari seluruh dunia bagi membincangkan isu berkaitan tema persidangan iaitu ‘Perpaduan Asas Pembebasan Al-Aqsa’.
Beliau berkata Malaysia memandang serius isu kekejaman terhadap umat Islam di Palestin dengan terus menyokong dan memainkan peranan atas segala usaha ke arah kesejahteraan umat Islam.
“Malaysia semestinya akan terus memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam tanpa rasa takut atau pilih kasih dan menyokong usaha perpaduan Islam, kesejahteraan ummah khususnya dalam pembebasan Al-Aqsa kota suci ketiga umat Islam,” katanya.
Beliau berkata komitmen dan pendirian Malaysia terhadap Palestin merupakan antara perkara yang disuarakannya semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dipengerusikan Presiden Joe Biden di Washington DC baru-baru ini.
“Malaysia dengan lantang menggesa AS secara jujur menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan isu Palestin yang berlarutan selama 74 tahun,” katanya menambah peperangan itu telah mengancam keamanan antarabangsa.
Menyifatkan sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar berlandaskan agama, beliau berkata perjuangan itu adalah bagi membantu mengembalikan hak dan maruah rakyat Palestin.
Tambahnya, pembunuhan seorang wartawan veteran Al Jazeera oleh tentera Israel di Tebing Barat juga menggambarkan kekejaman, malah tidak menghormati jenazah Shireen Abu Akleh, 51, apabila bertindak menolak dan memukul pembawa keranda jenazah terbabit.
“Inilah realitinya pada hari ini,” katanya.
Ismail Sabri berharap penganjuran sidang kemuncak itu akan membawa Malaysia lebih dekat kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan serta membuahkan hasil untuk ummah dan negara Islam.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan dan keberanian untuk mencari keadilan dalam era tamadun moden manusia sekali gus membolehkan negara-negara Islam terus berjuang untuk bebas dari sebarang bentuk penindasan.
Sidang Kemuncak Ulama 2022 selama tiga hari bermula hari ini anjuran Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.