Sorting by

×

Syawal ubati rindu penghuni di balik ‘tembok besi’

Masa Membaca:2 Minit, 59 Saat

SUNGAI UDANG 19 Mei – Juraian air mata, ucapan rindu yang tidak putus di bibir dan dakapan erat ketika tiba masa untuk berpisah menggambarkan saat kegembiraan serta keinsafan kumpulan banduan wanita yang diberi peluang menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarga tersayang.

Terpisah di balik tembok besi bukan saja menjadikan mereka lebih dewasa sebaliknya mengajar erti kasih sayang dan menyedari masih diperlukan meskipun pernah tersilap langkah akibat pelanggaran undang-undang dilakukan.

Ikuti laporan wartawan Siti Salehah yang menyentuh hati wanita berkenaan yang turut berkongsi kekesalan hingga terpaksa berpisah dengan keluarga tersayang sempena program Semarak Skuad Waja: Wanita Di Sebalik Tirai Besi di Kompleks Penjara Sungai Udang 17 Mei lalu.

‘ANAK MANGSA KEADAAN’

Biarpun kurang 12 bulan menjalani hukuman ia bagaikan sudah cukup lama bagi ibu kepada tujuh anak, Puteri Sarah (bukan nama sebenar), 34, yang didapati bersalah kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Dia dijatuhi penjara lima tahun menjalani hukuman Ogos tahun lalu tekad mahu berubah dan kini mempersiapkan diri untuk menjadi wanita dan ibu terbaik selepas dibebaskan nanti.

SUNGAI UDANG 17 Mei – Banduan wanita yang dikenali sebagai Puteri Sarah, 37 ketika ditemui Melaka Hari Ini sempena Program Semarak Skuad Waja: Wanita Di Sebalik Tirai Besi di Kompleks Penjara Sungai Udang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Akibat perbuatannya, bukan dia seorang yang menerima hukuman malah turut terkesan sama adalah anak-anaknya yang terpaksa terpisah jauh daripadanya.

Katanya, lebih 10 tahun dia mensia-siakan masa bersama anak-anak kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kini tiba masa untuk dirinya berubah.

“Biarlah ini jadi yang pertama dan terakhir, sebelum ini saya tidak sedar akan akibatnya namun apabila di sini banyak yang dapat saya baiki diri antaranya cukup solat lima waktu dan dapat mengikuti kelas agama selain mendisiplinkan diri.

“Namun begitu, sakit yang teramat apabila terpaksa berpisah jauh dengan anak-anak dan terutamanya yang masih kecil sepatutnya ketika usianya ini, dia perlukan kasih sayang seorang ibu,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata, hatinya remuk apabila anak bongsu berusia dua tahun semakin renggang dan tidak mengenalinya.

Namun, dia bersyukur zuriat lain tidak putus mengucapkan ‘kami rindukan ibu’ untuk mengubat kesedihannya.

“Tadi apabila dapat bertentang mata dan melihat anak-anak dan suami, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan hati ini, dengan rasa rindu yang teramat, sebaik dapat memeluk mereka rasa terlepas rindu yang berat.

“Alhamdulillah, walaupun saya pernah melakukan kesilapan namun ahli keluarga termasuk suami tidak mengabaikan saya. Saya amat memerlukan sokongan mereka untuk meneruskan kehidupan ini tanpa mereka, tidak dapat digambarkan sukarnya,” katanya.

JANGAN IKUT EMOSI

Sementara itu, bagi Siti (bukan nama sebenar), 47, kini sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun kerana disabit kesalahan membunuh anak tirinya tanpa niat, dia sebolehnya tidak sanggup dan tidak mahu mengingati detik hitam itu.

SITI (bukan nama sebenar) meminta ibu-ibu di luar sana agar tidak mengikut emosi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, sebagai seorang ibu seharusnya tidak terlalu mengikut emosi dan banyak bersabar dalam mendidik serta membesarkan anak.

“Ini sudah takdir hidup tetapi sepanjang berada di sini tidak pernah anggap ini penjara sebaliknya ini adalah tempat untuk saya memperbaiki diri. Sejak berada di sini pada 2015 hingga kini banyak yang saya dapat pelajari.

“Mungkin kita hendakkan yang terbaik tetapi takdir kita tidak tahu. Nasihat saya janganlah kita terlalu mengikut emosi,” katanya.

Katanya, jauh disudut hatinya menyesali kerana tidak dapat menjadi ibu terbaik buat anak tirinya.

“Kehidupan saya kini jauh dari keluarga namun saya bersyukur anak dan ahli keluarga lain tetap ada bersama malah hari ini mereka sanggup datang ke sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1894
Kongsi :
Previous post KKM kaji cadangan tidak pamer jenama produk rokok
Next post Melaka tawar 3,423 rumah mampu milik, 3-5 Jun ini
Ubah saiz-+=