Isu global punca harga baja, jagung bijian melambung tinggi
UMBAI 16 Mei – Kenaikan mendadak harga baja sejak akhir-akhir ini berpunca daripada isu global yang melanda beberapa negara pengeluar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, negara pengeluar seperti China mempunyai masalah dalam pembuatan baja ekoran desakan mengenai isu pengeluaran karbon (carbon emission).
Katanya, selain China, terdapat juga negara-negara pengeluar lain yang turut mendapat desakan yang sama malahan terdapat negara pengeluar yang sedang bergolak dengan peperangan dan terpaksa menghentikan pembuatan.
“Harga baja melambung tinggi disebabkan baja ini sebenarnya ‘raw material import’ dari luar negara, dan negara-negara yang kita import mempunyai masalah.
“Seperti China, negara itu menghentikan pembuatan atas desakan dari negara luar untuk kurangkan carbon emmision dan banyak lagi negara pengeluar lain yang serupa kerana mereka mendapat tekanan akibat carbon emission.
“Apatah lagi pada ketika ini kita sedia maklum negara yang sedang menghadapi peperangan adalah negara pengeluar utama untuk produk-produk yang kita import,” katanya kepada pemberita di kediamannya.
Sebelum ini, ramai petani mengeluh susulan kenaikan mendadak harga baja terutamanya baja AB yang digunakan untuk tanaman fertigasi.
Petani mendakwa sepanjang tahun ini sahaja harga baja telah dinaikkan sebanyak tiga kali sekali gus memberi tekanan kepada kos tanaman dan harga sayuran di pasaran.
Ahmad Hamzah berkata, selain baja, turut terkena tempias ialah harga jagung bijian yang menjadi sumber utama makanan sektor penternakan.
Ujarnya, sebelum ini Malaysia banyak mengimport jagung bijian dari negara pengeluar utama iaitu Ukraine, namun negara itu kini masih bergolak dengan peperangan.
“Malaysia adalah negara perindustrian, jadi kita terdedah dengan apa sahaja yang berlaku di negara luar akan memberi impak pada negara kita.
“Sama ada jagung, baja atau racun haiwan perosak, semuanya berkait dengan isu global, sama ada kekurangan pekerja dan cuaca ia menjejaskan pasaran kita, maknanya kita terdedah dengan apa sahaja yang berlaku dalam pasaran kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.